Malaysia Dateline

Serah royalti minyak Kelantan melalui MPKK

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan berpandangan wang royalti minyak perlu disalurkan terus kepada rakyat negeri ini melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Ketua Armada Negeri, Asran Alias berkata, MPKK merupakan sebuah agensi yang rapat dan menguruskan secara terus hal ehwal rakyat di peringkat kampung dan mukim.

Asran Alias

Beliau berkata, MPKK di negeri ini sangat berperanan untuk menguruskan wang royalti memandangkan terdapat keanggotaan daripada negeri dan Pusat.

“Semangat ini sangat penting memandangkan royalti adalah hak milik rakyat Kelantan.

“Armada Kelantan juga mencadangkan supaya ahli MPKK diberikan kursus untuk mengendalikan wang royalti ini termasuklah tender dan anugerah projek,” katanya dalam satu kenyataan semalam dipetik utusanonline.

Asran berkata, lima peranan utama MPKK iaitu infrastruktur, keceriaan, perpaduan, anak muda dan wanita akan membantu majlis tersebut berfungsi dengan lebih baik untuk menyalurkan wang tersebut.

“Besar harapan kami MPKK diberi mandat yang besar bagi menunjukkan keadilan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami percaya perjalanan dan pengurusan pentadbiran kerajaan Persekutuan dapat dijimatkan khususnya di Kelantan,” katanya.