Serah saiz baju, kasut sekolah tidak sama: Yang bersalah tidak akan dilindungi, kata Khalid

Serah saiz baju, kasut sekolah tidak sama: Yang bersalah tidak akan dilindungi, kata Khalid

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menegaskan beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati tidak bertanggungjawab dalam menyerahkan bantuan persekolahan yang tidak menepati spesifikasi penerima.

Beliau berkata mulai tahun depan sistem kupon akan digunakan untuk semua penerima bantuan persekolahan dari Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

“Setakat ini terdapat 1 aduan yang diterima berkaitan saiz kasut dan seluar. Saya sudah mengarahkan CEO Yayasan Wilayah Persekutuan untuk membuat siasatan dan memberikan laporan kepada saya.

“Mulai tahun depan, sistem kupon akan digunakan untuk semua penerima. Tiada lagi dalam bentuk kasut dan baju serta seluar sekolah.

“No Cover Up!. Sebaliknya siapa yang didapati bersalah akan diambil tindakan sewajarnya. Apa jua agenda terselindung, kalau ada, akan terbongkar,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang dipetik melaporkan dua buah sekolah rendah jenis Cina di Kuala Lumpur menerima sehelai seluar panjang dengan saiz pinggang 38 inci dan kasut bayi antara barangan yang diterima murid dalam bantuan persekolahan daripada yayasan itu.

Menurut Khalid lagi tahun ini Yayasan Wilayah Persekutuan memberi sumbangan kepada 20,000 pelajar di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.

Seramai 3,250 pelajar mendapat sumbangan dalam bentuk beg dan baucer bernilai Rm100 setiap seorang. Baki yang lain mendapatnya dalam bentuk beg dan pakaian sekolah.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mendakwa pada tahun ini program itu mengalami “kegagalan besar” kerana penangguhan penyerahan, jumlah barangan yang tidak cukup dan tidak tepat.

Katanya lagi beliau sendiri menyerahkan set pakaian seragam sekolah kepada lebih 80 pelajar di SJKC Kepong 1 dan SJKC Kepong 2 semalam.

Menurutnya, pada majlis penyerahan berkenaan mereka menemukan sejumlah kesilapan daripada segi saiz pakaian.

“Seorang murid darjah enam menerima kasut bayi berwarna hitam. Seorang murid pendek tetapi seluarnya terlalu panjang, manakala seorang lagi mendapat seluar besar dengan saiz pinggang 38 inci.

“Jadi, tentulah ibu bapa merungut,” kata Lim yang menegaskan kesilapan itu tidak dapat diterimanya, seperti dipetik Malaysiakini.