Seramai 1,500 ahli bahagian Tenom isytihar keluar BN

Seramai 1,500  ahli bahagian Tenom isytihar keluar BN

Seramai 1,500 ahli cawangan Umno-BN Bahagian Tenom hari ini mengisytiharkan mereka keluar parti membabitkan cawangan di dua Dewan Undangan Negeri (Dun) Melalap dan Kemabong di Sabah.

 Borang keluar parti telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu Majlis Perasmian Irau Rakyat anjuran Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia yang diadakan di Kampung Kemabong, Tenom di sini petang tadi.

Sebanyak 1,250 ahli cawangan daripada Dun Kemabong dan 250 ahli cawangan dari Dun Melalap telah menyatakan pendirian mereka untuk keluar Umno-BN dan menyertai parti baharu yang akan ditubuhkan oleh bekas Naib Presiden Umno itu.

Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya umum lalu dengan barisan kepimpinannya Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raimie Unggi, Adun Melalap Datuk Radin Malleh dan Adun Kemabong Datuk Rubin Balang.

Daripada sumber diperoleh Malaysia Dateline menerusi telefon, dimaklumkan juga sekitar 10 lagi cawangan di bahagian itu kini terumbang ambing ekoran krisis kepimpinan Umno pusat dan pemimpin di Sabah sejak pengantungan Shafie.

Cawangan-cawangan ini dikatakan seramai 700 ahli pada bila-bila masa juga akan mengumumkan mereka akan keluar parti dalam waktu terdekat.

Sumber juga memberitahu antara sebab utama mereka keluar parti bukan sahaja disebabkan pemimpin utama negeri itu tidak lagi bersama Umno bahkan dakwanya, sejak pemimpin BN memenangi PRU13 lalu tidak banyak pembangunan yang dilakukan untuk pengundi di kawasan itu yang kebanyakannya terdiri dikalangan suku kaum kadazan, dusun dan murut.

Antaranya dakwa sumber lagi, masalah bekalan air paip masih lagi menjadi masalah utama penduduk yang kebanyakannya masih lagi mengunakan air sungai yang keruh warnanya. Isu pembalakan haram juga ditimbulkan selain tenaga letrik dikatakan juga dicatu.

Sebagai rekod pada 11 Julai lalu seramai 600 ahli Umno-BN daripada 100 cawangan di bahagian Batu Sapi mengumumkan keluar parti serta merta kerana tidak puas hati dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung jawatan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tanpa dipanggil membela diri.

Pada 4 Julai Naib Presiden Umno itu digantung keahliannya kemudian  mengumumkan beliau keluar daripada parti itu. Beliau dipetik  berkata, keputusan itu dibuat berikutan tindakan MT Umno yang menggantung keahliannya pada 24 Jun lalu.

Pada 27 Jun Umno Bahagian Semporna dibubarkan dengan peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin kawasan tersebut sebagai bantahan terhadap keputusan MT Umno yang menggantung keahlian  Shafie sementara menunggu laporan Lembaga Disiplin parti.