Seramai 33 pendeposit  tabung haji tarik diri percaya fitnah

Seramai 33 pendeposit tabung haji tarik diri percaya fitnah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, seramai 33 pendeposit Tabung Haji telah membuat keputusan menarik diri daripada senarai penyimpan.

Katanya, keputusan itu juga sekali gus memadamkan nama mereka dalam senarai penggiliran untuk menunaikan haji.

“Tindakan drastik pendeposit ini disebabkan mereka terlalu percaya kepada fitnah yang disebarkan melalui media sosial.

“Walaupun Tabung Haji dan kementerian saya cuba menyakinkan mereka supaya tidak mengambil tindakan drastik keluar dari senarai itu, mereka tetap dengan keputusan.

“Kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia keputusan mereka dan hak mereka. Apa yang saya hendak beritahu mereka, namanya tidak lagi ada dalam senarai penggiliran menunaikan fardu haji di Tanah Suci, Mekah,” katanya pada Forum Bicara Persada – Keganasan Persepsi: Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi semalam lapor Malaysiagazette.

Mengulas lanjut, Jamil Khir dipetik sebagai berkata, agak mengecewakan apabila empat daripada pendeposit malang itu hanya perlu menunggu empat tahun sahaja lagi untuk tiba gilirannya menunaikan haji.

“Pihak Tabung Haji sudah memberi nasihat kepada mereka supaya tidak mudah terpengaruh atau mempercayai fitnah yang disebarkan melalui media sosial, lebih lagi mengenai agensi ini, tetapi mereka tetap bertegas dengan keputusan menarik balik semua deposit yang ada.

“Mereka memberi alasan sudah hilang keyakinan terhadap Tabung Haji. Ada yang mohon hendak keluarkan semua simpanan,” katanya.

Jamil Khir antara ahli panel yang dijemput pihak penganjur iaitu UKM dengan kerjasama Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Mohd Awal; Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Muhammad Farhan Khairuddin dan Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hassan Mad.

Turut menjadi ahli panel ialah Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global, Nasharudin Mat Isa.

TAGS