Seramai 80, termasuk penyokong Pas Perlis sertai AMANAH

Seramai 80, termasuk penyokong Pas Perlis sertai AMANAH
Mansor Ismail mewakili 30 ahli Kampung Bukit Temiang, Padang Besar, menyerahkan borang menyertai AMANAH kepada Datuk Salahuddin Ayub.

Krisis keyakinan yang sedang dihadapi Pas ketika ini semakin terserlah apabila semakin ramai penyokongnya telah berani untuk meninggalkan parti dan menyertai AMANAH.

Ini terbukti apabila seramai 80, termasuk penyokong Pas Perlis telah menyerahkan borang menyertai AMANAH kepada Timbalan Presiden, Datuk Salahuddin Ayub pada Jumaat.

Majlis yang telah diadakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis tersebut turut menyaksikan bekas Pengurus Besar PPK Lubuk Batu, Mansor Ismail menyerahkan 30 borang keahlian baru Kampung Bukit Temiang, Padang Besar.

Manakala Nasaruddin Amran yang mewakili 50 ahli termasuk penyokong Pas dari Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis turut menyerahkan borang menyertai AMANAH.

Penyertaan beramai-ramai ahli termasuk bekas penyokong Pas Perlis tersebut membuktikan bahawa AMANAH semakin mendapat perhatian dan sokongan sebahagian ahli dan penyokong Pas sendiri.

Sementara itu Pengerusi AMANAH Negeri Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, penyertaan bekas penyokong Pas tersebut membuktikan bahawa Pas sudah tidak lagi mampu mempertahankan sokongan mereka.

“Majoriti mereka yang menyertai AMANAH pada kali ini merupakan penyokong tegar Pas yang begitu kuat menyokong parti tersebut sebelum ini.

“Dengan penyertaan beramai-ramai ia menyerlahkan lagi kemampuan AMANAH dan Pakatan Harapan untuk memberi pembelaan terhadap rakyat khususnya di negeri Perlis.

“Saya optimis lebih ramai lagi akan meninggalkan Pas dan menyertai AMANAH tidak lama lagi, ” kata Wan Kharizal lagi.

Nasaruddin Amran mewakili 50 ahli baru dari Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, menyerahkan borang menyertai AMANAH kepada Datuk Salahuddin Ayub.