Serang peribadi pemimpin PH tanda Umno terdesak, AMANAH doakan Azmin bersabar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Serangan peribadi yang dilemparkan para pemimpin dan perwakilan Umno dalam perhimpunan agung parti itu membuktikan parti tunjang BN itu sedang terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan pengaruhnya.

Bagaimanapun pengarah komunikasi AMANAH Khalid Samad yakin para pemimpin Pakatan Harapan (PH) sudah lali dengan serangan-serangan bersifat peribadi dan jahat itu malah ianya tidak sedikitpun mampu mengubah komitmen pemimpin PH untuk membela rakyat dan menyelamatkan negara daripada kerakusan Umno-BN.

“Semua maklum bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah semakin dekat dan Umno BN kini semakin terdesak.

“Mereka sanggup menggunakan apa sahaja cara bagi ‘membunuh’ Pakatan Harapan yang merupakan ancaman utama kepada mereka untuk kekal berkuasa.

“Sudah tentu kebersamaan dan keutuhan gabungan keempat-empat parti dalam PH sangat dicemburui dan digeruni oleh mereka,” ujar Khalid.

Khalid SamadKetakutan Umno, kata Khalid (foto) dapat dilihat melalui serangan bertali arus kepada Pakatan Harapan termasuk semasa perhimpunan agung Umno (PAU) yang sedang berlangsung.

Ujar beliau, melalui satu ruang pameran karikatur khas Umno menghentam pemimpin Pakatan Harapan, begitu juga melalui ucapan pemimpin-pemimpin mereka.

“Serangan bersifat peribadi dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan terbaharu ini, terhadap Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

“Serangan terhadap Azmin dilakukan melalui anggota keluarga terdekatnya sendiri yang kita yakin dimanipulasi oleh Umno BN,” kesal ahli parlimen Shah Alam itu.

Sehubungan itu beliau mendoakan Azmin tabah menghadapi episod serangan peribadi ini dan yakin seluruh pemimpin PH bersama menteri besar Selangor itu dalam menghadapi budaya politik toksik Umno-BN.

“Semoga beliau akan terus bersama untuk melakukan perubahan politik dalam negara ini,” katanya.

Khalid juga yakin ramai lagi pemimpin PH akan menjadi mangsa serangan politik Umno-BN selepas ini.

Bagaimanapun tegas beliau, PH yakin rakyat sangat bijak untuk menilai di sebalik apa yang berlaku.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS