Serangan berani mati di Aden, Yaman, 25 tentera terbunuh

Serangan berani mati di Aden, Yaman, 25 tentera terbunuh

Dua puluh lima anggota tentera terbunuh manakala 23 cedera dalam kejadian pengebom bunuh diri menyerang pangkalan tentera di Aden selatan Yaman pada pagi Isnin, menurut jurucakap keselamatan lapor agensi berita China Xinhua.

Pengebom bunuh diri itu mensasarkan sekumpulan anggota tentera yang baharu menyertai tentera Yaman di markas Briged Armor ke-39 di daerah Khormaksar di Aden.

Jurucakap kerajaan Aden memberitahu Xinhua, pengebom bunuh diri menyelusup masuk ke markas tentera dan kemudian menghidupkan tali pinggang yang diikat dengan bahan letupan.

Pada masa sama turut berlaku letupan kereta di sebuah lagi lokasi iaitu tempat anggota rekrut berbaris untuk memasuki perkhidmatan tentera. Sehingga kini jumlah kematian dan kecederaan belum dapat dipastikan.

Menurut sumber jumlah kematian dan kecederaan mungkin meningkat memandangkan anggota penyelamat menghantar mangsa bagi mendapatkan rawatan di beberapa buah hospital berbeza.

Selepas dua insiden serangan bom itu, pihak keselamatan Aden turut dimaklumkan oleh agensi risikan terdapat sebuah lagi kereta dipenuhi dengan bahan letupan dijangka akan digunakan untuk melancarkan satu lagi serangan di bandar itu.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas insiden berkenaan, meskipun cabang kumpulan Al Qaeda berpangkalan di Yaman dipercayai sering menjadi dalang di sebalik serangan sebelum ini yang menjadikan anggota keselamatan dan pegawai kerajaan sebagai sasaran.

Kumpulan militan Ansar al-Sharia yang wujud pada Januari 2009 di Yaman pernah mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa siri serangan ke atas kerajaan dan tentera Yaman.

Kumpulan itu mengambil peluang situasi keselamatan dan perang yang berlarutan untuk meluaskan pengaruh mereka di kawasan selatan Yaman.

Keadaan keselamatan di Yaman semakin buruk sejak Mac 2015 apabila perang meletus antara kumpulan Shiite Houthi yang disokong oleh bekas Presiden Ali Abdullash Saleh dengan pihak kerajaan.

Lebih 6,000 orang terkorban akibat pertempuran kedua-dua pihak dan separuh daripadanya ialah orang awam.

TAGS