Serangan bom, KPN pesan waspada masuk Thailand cuti Deepavali ini

Oleh ROSLAN ZAMAN

Sudah jadi satu trend bagi rakyat Malaysia jika masuk sahaja musim cuti perayaan atau peristiwa, pasti akan melancong ke selatan Thailand terutamanya di Hatyai.

Pada hujung bulan Oktober ini, rakyat Malaysia akan menyambut cuti perayaan Deepavali. Sudah pasti ada dikalangan rakyat Malaysia akan melancong ke selatan Thailand.

Namun hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta rakyat Malaysia yang merancang bercuti ke sempadan Thailand semasa cuti panjang Deepavali nanti untuk berjaga-jaga.

Seperti dipetik BH Online, langkah itu susulan terdapat tujuh serangan dan pengeboman yang berlaku di wilayah selatan pada 9 dan 10 Oktober lalu.

“Saya percaya ramai rakyat Malaysia akan pergi ke wilayah selatan Thai sempena cuti Deepavali yang akan datang.

“Selain meminta mereka lebih berhati-hati, saya juga ingin menasihatkan pelancong Malaysia supaya, jika boleh, mengelakkan kawasan yang menjadi sasaran pihak yang terbabit dalam serangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat Malaysia perlu ‘membaca’ situasi terkini membabitkan negara yang ingin mereka lawati.

“Rakyat Malaysia juga perlu mendapatkan maklumat terkini sebelum merancang bercuti ke negara berkenaan,” katanya lagi.

baca: Pemilik premis akui rugi, rupanya GISBH tak pernah bayar sewa selama 10 tahun, kena halau bila datang