Serangan bunuh diri ragut 21 nyawa di timur Afghanistan

Serangan bunuh diri ragut 21 nyawa di timur Afghanistan

Satu serangan bunuh diri yang kompleks diikuti insiden berbalas tembakan telah meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa di timur Afghanistan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai pada Rabu.

Serangan itu berlaku berhampiran sebuah lapangan terbang domestik di wilayah Nangarhar.

Attaullah Khogyani, seorang jurucakap bagi gabenor wilayah, memaklumkan Anadolu bahawa lima penyerang telah menyerbu pekarangan syarikat pembinaan EBE pada awal pagi di daerah Behsud, yang terletak di pinggir ibu kota wilayah, bandar Jalalabad.

Beliau mengesahkan bahawa 16 pekerja syarikat itu dan kesemua lima penyerang terbunuh dalam serangan yang berakhir pada waktu tengah hari.

Lapangan terbang domestik itu turut berfungsi sebagai sebuah pangkalan tentera di lebuh raya utama Kabul-Jalalabad di timur Afghanistan.

Tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu setakat ini.

— BERNAMA