Malaysia Dateline

Serangan Christchurch: Tiga rakyat Malaysia terima kunjungan Mujahid

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang baru tiba dari New Zealand jam 5.20 pagi tadi memaklumkan, beliau sempat bertemu tiga rakyat Malaysia yang cedera akibat serangan di dua buah masjid di Christchurch.

Beliau berkata, dua mangsa masih berada di hospital, manakala Rahimi Ahmad baru sahaja dibuka mesin sokongan hayat.

“Rahimi boleh bernafas dan bercakap.. dia mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakannya..

“Yang kedua pula, Nazril Hashim Omar sudah keluar dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan telah dipindahkan ke wad biasa.. cuma perlukan rawatan untuk membuang baki peluru di kakinya.

“Ketiga, Tarmizi Shuib yang telah kehilangan anak… saya ke rumahnya dan melihat beliau bertongkat sekarang sebab ada serpihan peluru di punggungnya.

“Oleh kerana adik Haziq sudah ‘disimpan’, saya tak dapat tengok arwah.,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dataran Merdeka, ketika ditanya pemberita mengenai keadaan semasa rakyat Malaysia yang menjadi mangsa serangan rambang itu.

Dalam perkembangan sama, Mujahid turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand.

Ucapan itu dizahirkannya kerana, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana telah bertungkus lumus memastikan kebajikan mereka dan memudahcara semua yang terlibat dengan kerajaan New Zealand.