Serangan IS di Puchong, Wan Azizah mahu PDRM lebih serius

Serangan IS di Puchong, Wan Azizah mahu PDRM lebih serius

Terkejut dengan makluman polis bahawa letupan bom tangan di Puchong beberapa hari lalu adalah serangan yang dirancang organisasi militan pelampau Islamic State (IS), Ketua Pembangkang di Parlimen Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu Polis Diraja Malaysia bertindak lebih serius.

“Saya menggesa pihak PDRM untuk segera menangkap serta melumpuhkan sel-sel IS yang masih ada dan membawa mereka yang terlibat di dalam aktiviti militan pelampau seperti IS ke muka pengadilan.

“Pada masa yang sama, saya menggesa Putrajaya agar menghormati hak-hak asasi rakyat Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sewaktu membanteras musuh negara,” kata beliau dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Beberapa hari lalu satu serangan bom tangan di Puchong yang mengakibatkan 8 orang tercedera, merupakan serangan IS yang pertama di Malaysia manakala dalam perkembangan di luar negara IS mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di Bangladesh (yang mengorbankan 20 orang) dan Baghdad (yang mengorbankan lebih 120 orang).

Rakyat juga katanya, perlukan penjelasan dari Ketua Polis Negara mengapa kenyataan awal PDRM mengatakan bahawa serangan di Puchong bukan serangan pengganas tetapi adalah serangan berkaitan kongsi gelap.

“Ini amat merisaukan kerana ia menimbulkan persoalan tentang tahap persediaan PDRM menghadapi IS,” katanya.

Lebih mengejutkan kata beliau ialah kenyataan KPN bahawa 2 dari 15 yang ditangkap berkait serangan di Puchong ini adalah anggota polis.

“Maka wajib ditanya: sejauh manakah IS telah menyusup ke dalam organisasi PDRM?,” soalnya.

Beliau mahu agar PDRM mengklasifikasikan setiap serangan termasuk yang menggunakan bahan letupan seperti C4, bom tangan dan sebagainya sebagai serangan pengganas sehingga dibukti sebaliknya.

Bagi beliau perkara lebih penting sekarang adalah perlunya kerajaan, para ulama, para intelektual serta pemimpin masyarakat dan politik mengecam sekeras-kerasnya serangan ini termasuk sentiasa berwaspada serta mengutuk segera tanpa menunggu sebarang usaha, retorik, polemik yang bukan hanya menyokong ideologi pelampau IS tetapi semua ideologi ekstremis.

Kerajaan juga katanya, mesti tegas dan konsisten dengan memberi isyarat jelas dan menghalang suasana ekstrimisme, perkauman melampau, rasuah dan penyelewengan agama dari wujud, termasuk dengan mempelajari dari kontroversi kenyataan mengenai kafir harbi baru-baru ini di mana kerajaan lambat bertindak hingga tertimbulnya polemik tidak sihat.

“Seluruh rakyat Malaysia kini perlu berwaspada, bersatu hati dan menggembleng usaha. Kita kini menjadi sasaran pengganas IS.

“Oleh itu, kita perlu melangkaui jurang politik, kaum dan latar belakang lain demi menjamin keselamatan dan masa depan negara tercinta,” ujar beliau.

COMMENTS

Wordpress (0)