Serangan jantung bukan punca kematian Kim Chol, sangkal KPN

Serangan jantung bukan punca kematian Kim Chol, sangkal KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menyangkal dakwaan oleh Korea Utara bahawa Kim Chol kemungkinan meninggal dunia kerana serangan jantung.

Khalid kata pakar Malaysia telah pun mengesahkan bahawa Kim Chol mati selepas dua wanita tiba-tiba menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang disembur dengan cecair beracun yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

“Kita mempunyai pakar-pakar yang berkelayakan untuk menentukan punca kematian Kim Chol. Siasatan kita dan disokong oleh laporan pakar mengesahkan bahawa Kim Chol dibunuh. Korea Utara boleh menyatakan apa yang mereka suka tetapi fakta itu kekal,” kata beliau ketika dihubungi oleh Bernama News Channel.

Khalid berkata demikian susulan dakwaan oleh jurucakap rasmi kedutaan Korea Utara Ri Tong-il semasa sidang media semalam bahawa Kim Chol meninggal dunia akibat serangan jantung dan bukan diracun.

Sementara itu, Khalid berkata tidak perlu untuk menyerahkan sampel bahan kimia yang digunakan dalam pembunuhan itu kepada Organization for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW).

Kim Chol mati pada 13 Feb selepas dua wanita menyapu mukanya dengan cecair beracun di klia2 semasa menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau.

TAGS