Serangan Najib kini menekan pemimpin dan penyokong PH, kata Saifuddin

Serangan Najib kini menekan pemimpin dan penyokong PH, kata Saifuddin

Terkini tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Lim Guan Eng seolah-olah terdapat serangan daripada kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak terhadap pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang sejak akhir-akhir ini.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa, beberapa peristiwa yang telah berlaku sepanjang bulan Ramadan ini, memberi isyarat kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, telah memberikan tekanan dengan mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang pada Khamis lalu.

” Ada satu gerakan ‘offensive’ oleh PM sepanjang bulan Ramadhan berturu-turut tindakannya bermula dengan memecat dan mengantung pemimpin Umno, menghentikan peruntukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir dan terkini mendakwa Lim Guan Eng.

“Kes Lim Guan Eng ini sebahagian daripada proses serangan yang mana kami lihat mereka menjadi mangsa perundangan yang terpilih,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui selepas menghadiri bengkel ‘Preparatory Seminar and Workshop on Gearing up for Redelineation’ anjuran Majlis Peguam hari ini.

Pada 23 Jun Pergerakan Pemuda Umno mendesak kerajaan segera menghentikan apa sahaja bantuan kerajaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta Yayasan Kepimpinan Perdana kerana bekas perdana menteri itu dikatakan memburukkan kerajaan serta Perdana Menteri.

Pada 26 Jun Majlis Tertinggi Umno telah mengambil keputusan untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta mengantung jawatan parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada 29 Jun Setiausaha DAP Lim Guan Eng ditahan SPRM dan beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini dengan jaminan berjumlah RM1 juta setelah didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk pengurusan kes.

Saifuddin turut berkata, keputusan Guan Eng untuk tidak melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri sementara kesnya disiasat, tidak menjejaskan amalan persepakatan dalam Majlis Presiden.

“Ia adalah keputusan yang dibuat DAP. Dalam majlis presiden isu yang akan kita bincangkan bukan kedudukan Guan Eng tetapi apakah yang sedang Pakatan Harapan hadapi di masa akan datang,” ujarnya yang mengatakan Majlis Presiden akan bermesyuarat lepas sambutan hari raya Aidil Fitri nanti.

Difahamkan antara perkara yang akan dibincangkan bersama antara pemimpin Pakatan Harapan berkaitan dengan kesan PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Beliau tidak menafikan kerjasama antara Pakatan Harapan dan Pas tetap akan dibincangkan secara bersama bagi menghadapai Umno-BN dalam PRU14 kelak.

“Kerjasama parti pembngkang bukan hanya di kalangan Pakatan Harapan.

“Kita sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Pas walaupun tak jadi pada PRK lalu.

“Kita akan melihat semua perkara ini, takan sampai bila-bila tak jadi dan kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pembangkang dan individu tertentu.” ujarnya.

“Yang paling ideal satu lawan satu tapi jika tiga penjuru sekalipun tidak bererti kita tidak akan menang, takanlah BN saja yang boleh menang tiga penjuru,” ujarnya.

Ditanya adakah individu yang dimaksudkan itu Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie?

Kata Saifuddin lagi, “asalkan kita ada persefahaman yang boleh di terima bersama.

” Prinsip kita perkara ini perlu diputuskan dalam majlis presiden.

“Dalam pakatan harapan siapa yang akan berunding pergilah berunding namun keputusannya kita akan berunding secara bersama.

“Kita kena maklumkan majlis presiden apa yang berlaku, saya tidak fikir itu sudah muktamad melainkan hanya percubaan untuk berunding,” ujarnya merujuk kepada tawaran Amanah Negeri Johor menawarkan Muhyiddin menyertai parti itu.

COMMENTS

Wordpress (0)