Serangan pengganas di Christchurch, mesej bahaya budaya asabiyyah

Serangan pengganas di Christchurch, mesej bahaya budaya asabiyyah

Kerajaan Malaysia disarankan agar mengambil langkah ke hadapan dalam membanteras bibit-bibit yang membawa pemikiran perkauman ekstrim di Negara ini, demikian menurut Exco Pemuda AMANAH Melaka Ubaidillah Harith Shahrin.

Katanya, langkah ini ini amat wajar dalam memastikan keharmonian kepelbagaian di negara ini dapat dikekalkan.

“Apa yang ingin ditekankan sekali lagi, sifat perkauman ekstrim ini boleh lahir tidak kira dari apa bangsa ataupun agama sekalipun.

“Memupuk kesedaran, kempen bahayanya asabiyyah perkauman dan kajian mendalam seharusnya dijalankan bagi mengekang penerapan ideologi budaya asabiyah perkauman ini.

“Perkara ini selari dengan apa ditekankan oleh Islam agar saling mengenali dan menjaga keharmonian sesama insan. Kekacauan serta pertelingkahan yang mendorong kepada tindakan pertelingkahan antara kaum hendaklah dijauhkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tragedi serangan pengganas di Christchurch yang didokong oleh perkumpulan yang menyerupai kepada ideologi Neo-Nazi berdasarkan sebuah dokumen manifesto yang tular bertajuk “The Great Replacement” yang telah dimuatnaik oleh individu bernama Brenton Tarrant.

Manifesto tersebut katanya jelas menunjukkan mereka mengecam bangsa imigran serta budaya asing yang dibawa, dirasakan sebagai ancaman kepada warga asal.

Katanya, serangan ke atas Muslim dibawa dengan naratif sejarah lampau peperangan era Uthmaniyah antara Eropah dan Muslim.

“Bagi mereka, ajaran muslim bertentangan dengan budaya mereka dan dendam lampau yang perlu dilunaskan. Mereka juga risau kadar kelahiran warga Muslim yang tinggi di negara mereka bakal mengambil alih peranan bangsa dan budaya di negara tersebut.

“Manifesto tersebut juga menyatakan terdapat kes-kes pembunuhan yang dilakukan oleh pelampau Muslim yang berlaku kepada warga Eropah dan kulit putih. Perkara tersebut dijadikan alasan membolehkan mereka membalas dendam kepada muslim dan islam,” katanya.

Beliau tidak menolak oerjuangan seperti ini didokong ideologi juga seperti kumpulan pelampau ISIS, dan pelampau Buddha di Rohingya dengan membawa ideologi perjuangan tertinggi dan paling suci adalah menghapuskan bangsa atau agama selain dari apa yang mereka anuti.

Jelas, katanya bahawa tindakan dan penerapan ideologi ekstrim ini terdapat dalam apa jua latarbelakang agama dan bangsa.

“Tidak adil dan tidak wajar hanya satu-satu agama atau bangsa dipersalah keseluruhannya akibat tindakan pelampau yang hanya sebahagian kecil sahaja.

“Apa yang perlu diperhati adalah, kejadian pengganas kebanyakannya berasal dengan menanamkan pemikiran perkauman atau rasis yang akhirnya melahirkan golongan ekstrim yang menghalalkan keganasan.

“Budaya begini wajar dikutuk keras walau dari sesiapa pon, dan dalam bentuk apa sekalipon cara yang diterapkan,” tegas beliau.

Jumaat 15 Mac 2019 telah tercatat sebuah tragedi berdarah telah menggemparkan dunia. Ini adalah susulan berlakunya insiden tembakan di dua buah Masjid di bandar Christchurch, New Zealand. Kejadian dilaporkan berlaku di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Sehingga kini seramai 49 umat Islam telah terkorban di dalam tragedi berdarah itu turut mencederakan dua orang rakyat Malaysia.