Serangan pengganas di NZ: keganasan tiada sempadan, kata Dr Mahathir

Serangan pengganas di NZ: keganasan tiada sempadan, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam reaksinya kepada serangan pengganas di New Zealand berkata, keganasan tidak mempunyai sempadan, dan “kita tidak tahu bila mereka (pengganas) akan menyerang.”

Dr Mahathir berkata beliau sebenarnya pernah menulis surat kepada Perdana Menteri Britain, yang mengatakan ‘anda tidak boleh memerangi keganasan seperti berperang dalam peperangan konvensional (kerana) anda tidak tahu di mana mereka akan menyerang.”

Beliau berkata cara terbaik untuk menangani keganasan ialah dengan mengetahui apa puncanya mereka melakukan tindakan keganasan itu dan cuba menyelesaikan atau menghilangkan punca-punca keganasan itu.

“Kita tidak dapat menjamin ia tidak akan muncul di sini atau di sana,” kata beliau pada sidang media selepas menyerahkan kad keanggotaan Bersatu kepada lapan bekas pemimpin UMNO Sabah di sini hari ini.

Kepada satu soalan, Dr Mahathir berkata Malaysia bernasib baik kerana mempunyai perisikan yang baik.

“Kita tahu siapa mereka, kita tahu pergerakan mereka, sebahagiannya sudah kita tangkap dan kita cuba memulihkan mereka,” tambah beliau.

Laporan media menyebut dua serangan pengganas berlaku di dua masjid di Christchurch ketika orang ramai sedang menunaikan solat Jumaat hari ini yant meragut nyawa sekurang-kurangnya 40 orang manakala berpuluh-puluh lagi cedera, termasuk dua rakyat Malaysia.

Terdahulu, Dr Mahathir, dalam hantaran di laman Facebook beliau menyatakan amat kesal dengan serangan kejam pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand itu.

“Kami berharap kerajaan New Zealand akan menngkap para pengganas itu dan mengambil tindakan yang perlu mengikut undang-undang negara itu,” katanya.