Malaysia Dateline

Serangan terbaharu Israel dibincang di Mesyuarat Kabinet esok, kata Mujahid

Isu serangan terbaharu rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini.

Katanya apa-apa tindakan susulan yang akan dibuat oleh kerajaan termasuk membentangkan usul di Parlimen berhubung perkara itu juga akan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

“Semalam juga saya telah bertemu wakil-wakil dari Palestin dan berbincang tentang isu ini dan bertanyakan sama ada kita akan bawa usul ke Parlimen untuk mengutuk Israel seperti mana yang kita pernah buat pada 2011,” katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan Masjid Model Rahmah, di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

Wakil-wakil Palestin ini ditemuinya di Kuala Lumpur selepas menyertai Persidangan NGO Asean  Plus Mempertahankan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa di sana.

Menurutnya, pendirian Malaysia berhubung pendudukan dan penjajahan Israel ke atas tanah Gaza amat jelas selama ini dan yang tebaru menggesa negara Yahudi itu untuk menghormati keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa Gaza adalah milik Palestin.

Mujahid berkata kerajaan bersama-sama beberapa badan bukan kerajaan akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat di seluruh negara pada 4 April ini dalam program Yasin for Aqsa yang bertujuan untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Tentera Israel telah memulakan serangan terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza Isnin lepas setelah mendakwa pejuang Hamas telah menyerang dan mencederakan tujuh orang rakyat Israel di Tel Aviv beberapa jam sebelum itu.- BERNAMA