Serangan udara tentera koaliasi Saudi-Emirate di Yemen dikutuk keras

Serangan udara tentera koaliasi Saudi-Emirate di Yemen dikutuk keras

Melalui satu kenyataan media, Mapim, Syura dan Sejagat mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara oleh tentera koaliasi Saudi-Emirate yang mengakibatkan puluhan kanak-kanak dalam bas sekolah berdekatan pasar di Saada sebuah bandar di Yemen terbunuh.

“Pembunuhan puluhan ribu rakyat sivil dan ratus ribu yang mati akibat kebuluran dan penyakit di Yemen sejak serangan tentera udara koaliasi Saudi dan Emirat adalah jenayah perang.

“Kanak-kanak dalam bas sekolah yang menuju ke program rehlah musim panas telah dijadikan sasaran oleh serangan udara.

“Kami mengecam pihak koaliasi yang tidak berperikemanusian yang membuta tuli menyerang rakyat awam,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Syura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin dan Presiden Sejagat, Shekh Al Atas dalam kenyataan bersama baru-baru ini.

Jelas kenyataan itu lagi, komuniti antarabangsa mesti mengecam tindakan barbarik ini dan siasatan untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab perlu dilakukan segera dan mereka perlu dibawa ke mahkamah pengadilan.

Yemen kini sudah menjadi medan pembunuhan massa oleh tentera koaliasi atas nama berperang dengan pemberontak Houti.

Katanya, Saudi dan tentera negara-negara yang menganggotai koaliasi mesti bertanggungjawab ke atas krisis kemanusiaan terbesar di dunia yang sedang berlaku di Yemen.

“Kanak-kanak yang tidak berdosa itu berhak menuntut keadilan. Mereka adalah mangsa yang tidak harus terheret dalam konflik yang dicetuskan oleh Saudi.

“Majlis Keselamatan PBB mesti bersidang segera untuk mengeluarkan keputusan terhadap jenayah yang berlaku ini.

“Anggota negara dalam OIC perlu mengeluarkan pendirian agar jenayah ini dikutuk sekeras-kerasnya,” tambah kenyataan itu.