Serantau Muslim alu-alukan usaha untuk selesaikan masalah Rohingya

Serantau Muslim alu-alukan usaha untuk selesaikan masalah Rohingya

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berkata, sehingga hari ini pihaknya melihat pelbagai usaha dilakukan pelbagai pihak berhubung isu penindasan etnik Rohingya dan pihaknya memuji usaha-usaha mereka yang terlibat.

Kini, siasatan peringkat global bakal dilakukan susulan isu penindasan yang dilakukan tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya sejak tahun 1784.

Demikian kata Pengurus Besar Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, laporan media menyatakan Aung San Suu Kyi menafikan dakwaan berlakunya aktiviti penghapusan etnik terhadap golongan minoriti Islam di Myanmar.

Jelasnya, kenyataan ini dibuat setelah Britain menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) membantu mencari bukti jenayah yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap penduduk minoriti Islam di Rakhine yang sebelum ini mempunyai kepadatan penduduk seramai 2,915,000 orang itu.

“Duta Britain, Karen Pierce memaklumkan siasatan yang akan dilaksanakan memerlukan bukti yang kukuh dan pihaknya menggesa UNSC membantu mengumpulkan bukti kekejaman sebelum diserahkan kepada pihak lebih berkuasa di peringkat antarabangsa.

“Serantau Muslim melihat Myanmar seolah-olah tidak tenang seperti cacing kepanasan kerana satu demi satu jenayah yang dilakukan bakal disiasat,” kata Mohd Hakim.

Ujar beliau, isu terbaru ini wujud selepas Myanmar memberi lampu hijau melawat Myanmar kepada wakil Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) pada 30 April lalu.

Pada masa sama katanya, pemenang Nobel Perdamaian, Suu Kyi turut menyatakan terdapat banyak permusuhan di Rakhine, terdapat perbezaan pendapat antara manusia dan ada kejadian orang Islam membunuh orang Islam dan bukan sekadar pembersihan etnik.

“Walau apapun kenyataan yang dikeluarkan pemimpin kanan Myanmar itu, Serantau Muslim masih mengharapkan bukti kukuh dapat dicari pihak UNSC terhadap penghapusan etnik tanpa sifat keperimanusiaan yang terpaksa diharungi etnik Rohingya itu pada tahun 1991.

“Serantau Muslim melihat pihak Myanmar seakan-akan menafikan jenayah bunuh, rogol dan kekerasan yang telah dilakukan oleh tentera mereka terhadap etnik Rohingya sejak berabad yang lalu.

Serantau Muslim berharap siasatan berhubung dakwaan penindasan ke atas etnik teraniaya di dunia itu dapat dijalankan secepat mungkin bagi mendapatkan keadilan terhadap etnik minoriti yang telah terkorban di Myanmar,” tambahnya.

Tegas Moh Hakim, selagi isu etnik Rohingya ini belum selesai, Serantau Muslim sentiasa giat menjalankan kempen membantu etnik Rohingya menerusi laman sesawang www.untukmurohingya.com dan bersedia sepenuhnya demi menyalurkan apa jua bentuk bantuan etnik Rohingya agar mereka dapat meneruskan kehidupan seharian.

“Serantau Muslim percaya berkat usaha dan doa semua umat Islam dari seantero dunia akan membawa kesejahteraan kepada seluruh umat Islam di mana-mana jua mereka berada selagi semangat “Persaudaraan Rentas Sempadan” sentiasa disemat,” ujar beliau.

CATEGORIES