Serantau Muslim bawa isu pelarian Rohingya ke Komanwel

Serantau Muslim bawa isu pelarian Rohingya ke Komanwel

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) meneruskan misi bagi membela nasib umat Islam Rohingya yang sedang dizalimi.

Kali ini, Serantau Muslim membawa isu kemanusiaan ini ke pengetahuan Sekretariat Komanwel yang berpangkalan di London, United Kingdom bagi menggiatkan usaha membebaskan Rohingya dari aparat kezaliman.

Raja Iskandar menjelaskan sesuatu kepada Dr JustinKoordinator Hak Asasi Manusia Sekretariat Komanwel, Dr Justin Pettit telah menerima kunjungan rasmi Serantau Muslim yang diketuai oleh Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob di Marlborough House, London, United Kingdom 11 Januari lalu.

Turut bersama dalam pertemuan tersebut ialah Duta Serantau Muslim, Fadzli Yusof; Setiausaha,  Mohd Hakim Mohd Nor dan Ahli Jawatankuasa, Muhammad Faeez Azahar.

Pertemuan tersebut antara lain untuk memberikan gambaran jelas kepada pihak komanwel terhadap suasana yang berlaku di Arakan, Myanmar ketika ini.

Di samping itu, Serantau Muslim telah memaklumkan tentang usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) terutama di Malaysia dalam meredakan ketegangan dan mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh umat Islam Rohingya.

Raja Iskandar menjelaskan, kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia di Arakan, Myanmar telah menyebabkan umat Islam Rohingya terpaksa lari menyelamatkan diri di negara-negara berhampiran.

Ia kata beliau telah mengakibatkan kebanjiran pelarian-pelarian di banyak negara termasuklah di Bangladesh, Indonesia, Thailand dan Malaysia sendiri.
“Difahamkan pelarian Rohingya di Malaysia telah menjangkau angka 100 ribu, malah ada negara yang mencatatkan angka lebih daripada itu.

“Majoriti daripada mereka pula tidak mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) hingga menyulitkan pelbagai urusan,” katanya.

Katanya, pelarian-pelarian ini telah mengakibatkan berlakunya pelbagai kesan negatif ke atas negara yang terlibat terutama hak asasi rakyatnya.

Dari kiri Ustaz Hakim Dr Raja Iskandar Muhammad FaeezMalaysia adalah negara Komanwel, oleh yang demikian, katanya, Sekretariat Komanwel perlu mengambil maklum dan masuk campur dalam isu ini ke arah penyelesaiannya.

“Kami sangat simpati dengan umat Islam Rohingya yang terpaksa menjadi pelarian di negara orang untuk menyelamatkan diri selepas hak asasi mereka dicabuli.

“Namun perkara ini tidak seharusnya berpanjangan dan perlu ada titik noktah.

“Isu hak asasi ini selari dengan perjuangan dan tanggungjawab Sekretariat Komanwel, campur tangan organisasi yang berpengaruh ini sangat penting dan akan memberi kesan.

Dalam pertemuan itu, Dr Justin bersama-sama berkongsi rasa prihatin dan berharap isu-isu pelanggaran hak asasi manusia seperti di Arakan ini berakhir.

Raja Iskandar yakin, pihak Komanwel turut bersama menolak sebarang bentuk kezaliman atas dasar hak asasi manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Campur tangan Sekretariat Komanwel katanya mampu memberi hasil positif seperti yang diharapkan oleh semua pihak.

 

TAGS