Serantau Muslim gesa Myanmar dikenakan sekatan semula

Serantau Muslim gesa Myanmar dikenakan sekatan semula

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim menggesa supaya Myanmar dikenakan semula sekatan sehingga negara tersebut benar-benar dapat menerima balik etnik Rohingya secara bermaruah dan aman.

Desakan tersebut dibuat, ekoran etnik Rohingya didapati masih belum dapat menikmati keperluan asas secukupnya di negara sendiri diakibatkan rentetan isu diskriminasi dan prejudis antara kaum dan agama.

“Baru-baru ini, laporan media melaporkan penasihat hal ehwal luar negara Perdana Menteri Bangladesh, Gowher Rizvy menyeru masyarakat antarabangsa menggesa semula sekatan terhadap Myanmar kerana pembunuhan beramai-ramai, genosid dan pembersihan etnik ke atas muslim Rohingya.

“Namun kenyataan ini ditarik balik dalam persidangan antarabangsa mengenai ‘Krisis Pelarian Rohingya: Ke Arah Penyelesaian Lestari’ di Univesiti Dhaka sebagai tanda muhibah dan reaksi sikap bertanggungjawab daripada Myanmar,” kata Pengurus Besar Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, Serantau Muslim berasa khuatir dengan nasib minoriti Islam di Myanmar jika sekatan terhadap Myanmar ditarik balik.

Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor

Serantau Muslim sambungnya, masih tidak yakin dengan sikap kebertanggungjawaban Myanmar dalam isu ini. Hal ini kerana sehingga kini masih terdapat berita-berita di dada akhbar tempatan yang melaporkan terdapat pelarian Rohingya menaiki bot-bot kecil menuju ke Malaysia dan lain-lain tempat.

“Kerisauan Serantau Muslim diperkuatkan lagi dengan kenyataan dari Pihak Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) yang memaklumkan bahawa situasi di Rakhine belum menyebelahi etnik Rohingya untuk dihantar pulang dan didapati etnik ini terus masuk ke Bangladesh setiap minggu demi mendapatkan perlindungan dan keselamatan.

“Sementara itu, Serantau Muslim menyokong kenyataan Pengarah Pusat Kajian Genosid (CGS) Univesiti Dhaka dan Pengerusi Institut Pengajian Antarabangsa dan Starategik Bangladesh, Munshi Faej Ahmed yang menyeru masyarakat antarabangsa terbabit sama dalam isu kompleks yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia ini,” kata beliau.

Kata Mohd Hakim, Munshi Faej Ahmed turut menyatakan bahawa Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) sudah mengenakan tindakan terhadap Myanmar manakala Kanada masih belum memberi jawapan konkrit terhadap sekatan ini.

Dalam masa yang sama, media turut menyatakan bahawa masih terdapat seramai 150,000 etnik Rohingya yang tinggal di utara Rakhine dan Pentadbir Muagdaw, Ye Htut menafikan permusuhan antara masyarakat yang tinggal, hanya memaklumkan bahawa banyak rumah yang masih tinggal dan minoriti Islam Rohingya tidak takut berada di situ, jelasnya.

Serantau Muslim sambungnya, melihat perbezaan kenyataan oleh Ye Htut dan kumpulan hak asasi manusia yang menyatakan bahawa, majoriti penduduk di Rakhine berada dalam kelaparan, ketakutan, tidak boleh bebas bekerja dan diganggu jiran bermusuh sekitar mereka.

“Oleh hal yang demikian, Serantau Muslim berharap Myanmar perlu dikenakan semula sekatan sehingga Myanmar benar-benar dapat menerima balik etnik Rohingya secara bermaruah dan aman.

“Dari semasa ke semasa, Serantau Muslim giat menjalankan kempen membantu etnik Rohingya menerusi laman sesawang www.untukmurohingya.com dan bersedia sepenuhnya demi menyalurkan bantuan berbentuk fizikal seperti makanan, minuman dan pakaian kepada pelarian Rohingya agar mereka dapat meneruskan kehidupan seharian.

“Serantau Muslim turut menyeru jasa baik muslimin serta muslimat dari seluruh pelusuk dunia agar mendoakan keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan etnik minotiri Islam ini,” kata Mohd Hakim.

6.0
OVERALL SCORE
: 6.0
Have no any user vote