Serantau Muslim kecam tindakan AS dan sekutu ke atas Syria

Serantau Muslim kecam tindakan AS dan sekutu ke atas Syria

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim mengecam keras tindakan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis yang melancarkan serangan bersepadu ke atas Syria baru-baru ini.

Menurut Pengerusi pertubuhan tersebut, Dr. Raja Ahmad Iskandar Ahmad Yaakob, Serantau Muslim bimbang dengan nasib rakyat Syria ekoran serangan bertubi-tubi itu.

Kata beliau, menurut laporan media, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama Britain dan Perancis telah melancarkan serangan udara bersepadu ke atas Syria dengan alasan menghukum rejim itu kerana melakukan serangan senjata kimia pada minggu sebelumnya.

Trump juga katanya, memaklumkan bahawa serangan itu bertujuan mencegah penggunaan senjata kimia oleh pemerintah Syria.

“Hal ini disambut baik oleh Perdana Menteri Britain, Thresa May yang beranggapan tiada alternatif yang lebih praktikal daripada serangan bersepadu tersebut. Dalam kenyataan lain SERANTAU MUSLIM melihat rejim Syria menafikan tindakan serangan kimia minggu lalu di Douma, Timur Ghouta.

“Serantau Muslim melihat AS dan sekutunya sengaja mencetuskan keadaan ini agar puak-puak Neokonservatif (Neocon) tidak bersuara lagi kerana sememangnya mereka inginkan penglibatan AS dalam konflik di Syria. Hal ini kerana Neocon (diwakili John McCain, Hillary Clinton dan sewaktunya) sudah lama ingin menggulingkan Assad.

“Namun, AS turut mengambil langkah berjaga-jaga agar isu ini tidak membawa kepada ketegangan kepada sekutu Syria iaitu Rusia yang akhirnya bakal memberi kesan kepada kestabilan serantau dan antarabangsa,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Raja Iskandar, Serantau Muslim melahirkan rasa kecewa dengan tindakan negara-negara ini kerana mereka bertindak sedemikian kerana agenda mengimbangi kuasa masing-masing.

Serantau Muslim ujarnya, berharap negara-negara berkuasa ini tidak seperti ‘enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ kerana tidak mengambilkira isu kemanusiaan di rantau bergolak itu.

Serantau Muslimingin menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dapat mengemaskini solusi supaya konflik ini akan segera berakhir.

“Diharap rundingan baik dapat diadakan bagi mengelak serangan terus berlaku disamping menyeru semua muslimin dan muslimat dapat terus berdoa untuk kebaikan rakyat Syria,” kata beliau.