Serantau Muslim puji Azmin cakna isu sekolah Rohingya

Serantau Muslim puji Azmin cakna isu sekolah Rohingya

NGO Serantau Muslim memuji sikap cakna Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak Rohingya apabila mengarahkan keputusan merobohkan sekolah kanak-kanak Rohingya yang dibina di atas tanah kerajaan negeri, dibatalkan.

“Pengerusi Serantau Muslim Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, keputusan itu selari dengan hasrat dan harapan pentadbir dan pelajar-pelajar sekolah tersebut yang terdiri daripada anak-anak yatim dan pelarian Rohingya.

“Tindakan seperti ini sangat wajar dan dipuji kerana memberikan solusi jalan penyelesaian dengan kadar yang segera, sesuai dengan status dan peranan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Azmin memberitahu kerajaan negeri sedang meneliti bangunan baharu yang sesuai dijadikan pusat pendidikan bagi kanak-kanak Rohingya.

Ia selepas pihak pengurusan Sekolah Rohingya Knowledge Garden Learning Centre (KGLC) menerusi Serantau Muslim memohon maklum balas daripada kerajaan negeri untuk mempertimbang semula cadangan perobohonan premis berkenaan.

Difahamkan, premis berkenaan menempatkan kanak-kanak Rohingya berumur tujuh hingga 12 tahun bagi tujuan pembelajaran dan pendidikan setempat.

Raja Iskandar berkata, polemik yang berlaku ini dapat diatasi sekiranya pihak berkuasa bertindak dan menguruskan masalah ini dengan lebih profesional.

“Pihak berkuasa tidak sewajarnya merobohkan bangunan sekolah tersebut selagi bangunan baru belum dikenal pasti dan disiapkan.

“Pentadbir tanah juga tidak mengeluarkan notis hitam putih tentang alternatif yang akan dibuat oleh kerajaan sebaliknya pihak pentadbir tanah terus bertindak ke atas sekolah itu itu. Ini menyebabkan pentadbir, guru-guru dan murid-murid merasa gusar dan risau akan status sekolah tersebut,” jelasnya.

Bagaimanapun, Raja Iskandar menegaskan, walaupun sudah ada kenyataan balas daripada pihak menteri besar, jawapan rasmi secara bertulis dari kerajaan negeri amat diperlukan untuk mengelakkan sebarang manipulasi dan polemik pada masa akan datang.

“Kami berpendapat, selagi mana tidak ada bukti bertulis dari pihak berkuasa, selagi itulah nasib pentadbir, guru-guru dan murid-murid Rohingya itu kekal seperti gantung tidak bertali dan hati mereka akan terus dirundung rasa gusar dan risau akan status sekolah tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, anak-anak yatim dan pelarian Rohingya daripada KGLC Seri Serdang akan menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini.

Mereka dijangka akan bertemu dengan Azmin sendiri.

 

TAGS