Malaysia Dateline

Serantau Muslim : Tempuh cabaran ke Syria bawa amanah rakyat Malaysia

Selepas menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) akhirnya berjaya masuk ke negara Syria bagi menyampaikan bantuan kemanusian musim sejuk #UntukmuSyria.

Selepas membuat rundingan demi rundingan, akhirnya skuad Misi Bantuan Musim Sejuk #UntukmuSyria itu mendapat kebenaran daripada Kerajaan Turki untuk memasuki Syria melalui sempadan negara itu.

Sebanyak 1700 pek bantuan telah berjaya dibawa masuk untuk disalurkan kepada masyarakat Syria yang tertindas dan dizalimi di negara mereka sendiri.

Bantuan tersebut terdiri daripada bantuan makanan dan kit musim sejuk, ia diberikan kepada individu dan keluarga yang benar-benar layak yang telah dikenalpasti oleh wakil Serantau Muslim di negara itu.

Masyarakat Syria itu hidup dalam serba kedhaifan dan mengharapkan sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai bagi meneruskan kehidupan.

Pengurus Besar Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, sumbangan tersebut adalah seratus peratus hasil sumbangan rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan cakna terhadap nasib saudara seakidah mereka.

Menurutnya, misi tersebut diadakan bagi melihat sendiri proses penyerahan bantuan-bantuan tersebut bagi memastikan ketelusan setiap bantuan yang telah disumbangkan oleh para penderma.

“Serantau Muslim sangat menitimberatkan ketelusan setiap sumbangan yang diamanahkan kepada kami. Walaupun wakil kami boleh menyerahkan segala bantuan tersebut, tetapi kami mahu melihat proses tersebut di hadapan mata kami sendiri.

“Walau terpaksa menghadapi risiko keselamatan, kami tetap nekad untuk pergi ke negara bergolak ini demi amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kami,” kata ketua Misi Bantuan Musim Sejuk #UntukmuSyria yang pergi selama 10 hari sejak 16 Mac lalu.

Misi tersebut turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Kini, Burhanuddin Othman dan Ahli Jawatankuasa Serantau Muslim, Muhammad Faeez Azahar.

Selepas berada tiga hari di Syria, Serantau Muslim meneruskan misi #Untukmu Syria ke negara Lubnan yang mana negara itu mempunyai pelarian Syria yang sangat banyak iaitu lebih 1.4 juta.

Pelarian Syria di negara ini sangat terbatas pergerakan mereka yang mana mereka tidak boleh bebas, sebaliknya hanya boleh berada di dalam lokasi kem mereka sahaja.

Lebih menyedihkan, mereka tidak mendapat sebarang bantuan daripada negara Lubnan sebaliknya mengharapkan bantuan orang ramai dan diuruskan oleh NGO-NGO.

Serantau Muslim telah menyampaikan lebih 1000 kotak makanan bernilai RM100 yang mana terdiri daripada makanan harian mereka seperti beras, minyak, tepung, gula, garam, kacang dan sebagainya.

Selain itu, Serantau Muslim turut menyampaikan bantuan Winter Kit terdiri daripada selimut, topi, sarung tangan, baju sejuk dan selendang.

Selain itu, Serantau Muslim turut menyampaikan sumbangan sebanyak 6 ribu keping roti serta petrol kepada 1000 keluarga untuk kegunaan pemanas api bagi mengurangkan kesejukan di musim sejuk ketika ini.

“Mereka sangat terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang membantu dan menghulurkan sumbangan kepada mereka.

“Ternyata setiap ringgit yang anda sumbangkan sangat bermakna bagi mereka,” jelasnya