Malaysia Dateline

Serba Dinamik sasar bida kontrak bernilai RM20 bilion

Penyedia pekhidmatan minyak dan gas (O&G), Serba Dinamik Holdings Bhd, merancang membida kontrak bernilai RM20 bilion merentas operasinya tahun ini.

Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah dalam sektor minyak dan gas, diikuti penjanaan tenaga (30 peratus) dan sektor lain (10 peratus).

Bercakap kepada pemberita di luar acara forum pasaran modal, Invest Malaysia 2019, di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berkata pada masa ini, 80 hingga 85 peratus hasil dipacu daripada segmen O&G.

Beliau berkata menjelang akhir tahun, nilai perolehan projek bagi segmen itu akan meningkat kepada RM10 bilion berbanding RM8.3 bilion pada masa ini.

“Kami yakin, RM10 bilion merupakan angka yang baik dan boleh dicapai, dan akan membantu meletakkan syarikat pada kedudukan yang baik dengan kewangan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu yakin ke atas pertumbuhan industri, dengan minyak mentah Brent turun naik antara US$60 dan US$70 setong tahun ini.

Selain Malaysia, syarikat itu juga beroperasi di Afrika, Timur Tengah dan Kesatuan Eropah.

— BERNAMA