Seri Bendahara produk pelancongan baharu Melaka

Seri Bendahara produk pelancongan baharu Melaka

Adly Zahari

Kerajaan negeri akan menjadikan kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara, di sini, sebagai salah satu produk pelancongan di Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari dipetik berkata, langkah itu mampu memberi impak positif kepada kewangan negeri dengan menjana pendapatan menerusi perancangan produk baharu tersebut.

Menurutnya, keputusan itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan bangunan tersebut dan menggelak menjadi ‘gajah putih’ memandangkan beliau tidak menggunakan sepenuhnya kediaman itu malah mengambil keputusan untuk menginap di rumah pegawai kerajaan di Peringgit.

“Ini sebahagian daripada perancangan kerana saya tak menggunakan secara keseluruhan dan mungkin boleh dijadikan rumah tamu kerajaan negeri atau produk pelancongan.

“Secara umumnya kawasan hijau di Seri Bendahara dikekalkan dan ini juga adalah polisi kita termasuk tak akan ada sebarang pembangunan baharu di kawasan berkenaan,” katanya.

Adly berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) bersama Lembaga Perumahan Melaka dan Lega Development Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini lapor Sinaronline.

Pada 15 Mei lalu, Adly yang dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 mengumumkan kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara dibuka kepada orang ramai untuk lawatan selama sebulan sehingga 14 Jun ini dari 9 pagi hingga 4.30 petang.

CATEGORIES
TAGS