Seribu orang jadi mangsa skim cepat kaya di Besut, kerugian RM1 juta

Seribu orang jadi mangsa skim cepat kaya di Besut, kerugian RM1 juta

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Polis meminta orang ramai yang menjadi mangsa kepada sebuah syarikat skim cepat kaya yang bergiat aktif di sini baru-baru ini supaya membuat laporan bagi memudahkan pihaknya menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai perkara tersebut dan memerlukan lebih banyak bukti supaya kes itu dapat diselesaikan segera.

Katanya setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan daripada seorang ejen skim berkenaan yang mendakwa kira-kira 1,000 pelabur terlibat dengan kerugian dianggarkan melebihi RM1 juta.

“Saya yakin ramai mangsa yang dipercayai terdiri daripada pegawai kerajaan dan orang awam telah mengalami kerugian tetapi malu untuk membuat laporan kepada polis setelah menyedari mereka tertipu,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Projek Perintis Pengurangan Penagihan Dadah oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di Jerteh, di sini semalam.

Rosli berkata mengikut siasatan awal, didapati ia hanya berlaku di Besut dan Kelantan dan tidak di daerah-daerah lain di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya seumpama itu kerana Bank Negara telah berkali-kali memaklumkan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan lesen bagi pelaburan seumpama itu.

Menurutnya, skim cepat kaya biasanya tidak membuat sebarang perjanjian bertulis dan mereka hanya membuat janji secara lisan kepada pelabur dengan strategi pelaburan membuat pusingan wang modal yang dibayar oleh pelabur.

“Apabila mengalami kekurangan wang pelaburan, mereka akan menghilangkan diri bersama wang pelabur yang membuat pelaburan terkemudian,” katanya.

TAGS