Seribu pengamal media sertai sambutan Hawana 2018

Seribu pengamal media sertai sambutan Hawana 2018

Datuk Zulkefli Salleh

Kira-kira seribu pengamal media dari seluruh tanah air serta beberapa anggota Asean berhimpun pada sambutan julung kali Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018 di ibu negara hari ini.

Bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’, sambutan yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade itu akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 petang.

Sambutan julung kali itu dimulakan dengan program Wacana Hawana pada 10.30 pagi hingga 12 tengah hari yang disertai ketua-ketua pengarang, pengarang dan tokoh media tempatan bagi membincangkan kepentingan masa depan media di Malaysia, selain mengeluarkan deklarasi Hawana dalam menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara.

Majlis pelancaran sambutan itu akan diadakan pada sebelah petang bermula dengan ucapan daripada wakil wartawan muda, tokoh wartawan dan pelancaran oleh perdana menteri.

Kemuncak majlis itu adalah penyampaian Anugerah Tokoh Hawana 2018 kepada seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada kemajuan dunia kewartawanan negara.

Objektif utama penganjuran Hawana adalah bagi mendapatkan pengiktirafan negara dan penghargaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama pengamal media Malaysia lain telah mengambil tanggungjawab untuk menganjur dan melaksanakan sambutan itu bagi mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara.

Sebahagian pengamal media tempatan dan beberapa negara anggota Asean berhimpun pada sambutan julung kali Hawana 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade har ini.

Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh berkata, cadangan itu dibuat bagi menghargai usaha wartawan yang turut terlibat dalam pembangunan dan hala tuju negara.

“Diharap Hawana akan dijadikan acara media terpenting setiap tahun seperti profesion lain, memandangkan wartawan juga memainkan peranan penting dalam membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat melalui penulisan berita beretika.

“Malah penganjuran Hawana ini juga dapat mengangkat profesionalisme wartawan yang mempunyai majikan dan bekerja secara sepenuh masa untuk membela bangsa dan membina negara,” katanya ketika berucap sempena Wacana Hari Wartawan Nasional di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berharap Hawana yang julung kali dianjurkan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Katanya, cadangan penubuhan badan itu telah lama diperjuangkan warga media tempatan, namun hingga kini masih belum menjadi kenyataan.

Badan itu dicadang antara lain bagi mengambil tindakan bagi kes-kes kecil melibatkan media jika aduan diterima, manakala bagi aduan lebih serius, ia dibawa ke mahkamah.