Malaysia Dateline

Serius tak nampak umur dah setengah abad, wanita Kelantan ini kongsi 16 tips awet muda

Suka makan buah-buahan dan menolak minuman manis antara amalan seorang wanita keturunan Kelantan ini yang tidak kelihatan pun seperti sudah berusia lebih setengah abad.

Ikuti perkongsian DZURIASIKIM DZULKEFLI berhubung 16 tips atau petua penjagaan diri dan awet muda yang diamalkannya:

Saya dihujani dengan permintaan di aplikasi Messenger meminta saya menulis tentang penjagaan diri serta petua yang saya amalkan.

Anda mungkin mahu anggap ini sebagai petua awet muda memandangkan usia saya pada tahun ini mencecah 53 tahun.

Apa yang bakal saya kongsikan adalah amalan rutin saya. Yang menjadi sebahagian dari hidup saya sejak remaja atau di zaman persekolahan kerana telah diajar oleh arwah ibu dan nenek. Ianya juga adalah amalan dalam keluarga sejak dulu lagi.

Oleh sebab sudah disemai dari kecil, segala amalan ini bukanlah saya lakukan kerana terpaksa atau mahu dipandang cantik dan muda. Ianya telah menjadi suatu kebiasaan bagi keluarga kami dan saya ajarkan pula kepada anak-anak saya.

Apa sahaja ilmu yang dikongsi, jika anda rasa dapat membawa kepada kebaikan, bolehlah diambil dan diamalkan juga nanti.

Alhamdulillah, walaupun sudah hampir 53 tahun usia saya, dengan izin Allah, saya tidak ada masalah kedut di wajah yang ketara termasuk di bahagian mata, tidak ada sebarang masalah sakit-sakit sendi, tapak kaki, lutut, mahupun badan.

Saya juga tiada sakit-sakit kepala, tidak ada masalah angin dalam badan, masih boleh membaca dan menulis tanpa menggunakan cermin mata, masih berambut lebat dan tiada masalah kulit menggeleber.

Mungkin saya boleh hasilkan sebuah buku khas untuk penjagaan diri. Namun, saya cuba ringkaskan di sini untuk bacaan anda semua.

Dzuriasikim Dzulkefli
  1. Saya jenis seorang yang jarang dan boleh dikatakan tidak suka minum air manis

Antara keburukan minuman manis:

  • Tambah berat badan.
  • Tak puas minum atau susah rasa kenyang.
  • Risiko diabetes.
  • Melemahkan otot.
    Lebihkan air masak atau air mineral ya.

2. Saya suka makan buah terutamanya buah yang kaya dengan Vitamin C

Malam-malam kalau lapar, makan saja buah. Antara buah yang saya selalu amalkan adalah lemon! Ya, lemon sangat bagus untuk kekalkan keremajaan dan awet muda. Saya amalkan minum air lemon suam bersama madu setiap pagi dan malam!

  1. Saya suka bersenam dan bersukan

Saya memang suka bersenam dan bersukan sejak dari zaman sekolah lagi. Anda pasti tahu tentang ini. Anda boleh lakukan banyak senaman yang nampak sungguh ringkas tetapi sebenarnya sangat mencabar.

Cubalah. Senaman boleh bantu detox, menjadikan kulit kita awet muda, anjal dan sihat. Senaman juga boleh bantu minda kita untuk berfikiran lebih positif dan beri banyak faedah lain.

  1. Biasakan membaca selawat ketika membasuh muka

Ini diajar oleh arwah bapa saudara saya sejak saya berusia 12 tahun lagi. Sejak itu saya amalkan selalu. Setiap kali mandi dan cuci muka, saya akan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Saya amalkan ini hingga sekarang.

Kata arwah bapa saudara, selain mendapat pahala, amalan ini dapat menaikkan seri jernih pada wajah. Wallahualam.

  1. Saya suka ikut petua orang-orang tua. Contohnya:
  • Tidak boleh berkemban waktu nak makan.
  • Amalkan pakai kain batik di rumah. (Yang sebenarnya kena selalu berpakaian yang ada “ikat” di pinggang, supaya kita tidak makan banyak).
  • Kurang minum ais.
  • Tak makan bersulam air (makan selang seli dengan air).
  • Mandi sebelum makan, bukan selepas makan.

6. Saya sentiasa ceria dan positif. Tidak suka negatif

Setiap masalah cuba atasi dengan cara positif. Selalu bersangka baik. Buat baik dengan semua orang. Pesan arwah ibu, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Begitulah. Ringkas dan mudah tetapi sangat bermakna apabila orang tua berpesan.

  1. Saya suka jaga personaliti

Mungkin sudah terikut dengan arwah ibu dan cara dibesarkan dalam keluarga kami, kalau boleh, saya sentiasa nak nampak kemas dan cantik. Setidak-tidaknya untuk diri saya sendiri.

Orang yang suka menjaga keterampilan. Duduk dalam rumah pun kadang bergincu. Yang ini isteri-isteri harus praktikkan. Dalam rumah pun haruslah kelihatan berseri, kemas, bersih dan menarik!

Usah bersiap hanya untuk keluar rumah sahaja. Kata Ustaz Azhar Idrus, “Ada isteri yang bila hendak ke pasar malam, berjam dia bersiap. Tapi kalau di rumah kadang sisik ikan pun ada melekat di muka”. Lucu tetapi dalam maknanya.
.

  1. Dengan izin Allah, saya jarang sangat selesema, batuk atau demam

Mungkin kerana penjagaan makanan, pengambilan air yang cukup, juga kerana sering bersenam, saya jarang sakit. Kalau kerja, saya paling jarang ambil cuti sakit. Alhamdulillah.

Dengan kata lain, kalau kita selalu jaga makan, kesihatan pun terjaga. Makanan adalah “ubat” kepada kita. Jika tidak jaga makan, suatu hari nanti kita mungkin perlu makan ubat untuk sihat.

  1. Suka makan ulam-ulaman
    Contohnya: Ulam raja, pucuk paku, ibu kunyit, pudina, daun selom, pegaga dan macam-macam termasuk yang pahit, payau, berlendir. Segala ulam saya memang suka.

Sebab ini sudah jadi kebiasaan dalam keluarga saya sejak saya kecil. Jika susah nak dapatkan ulam, bolehlah digantikan dengan salad.

Saya juga suka makan halia muda dan kunyit muda sebagai ulam. Jujurnya saya makan ulam bukan kerana untuk awet muda, tapi kerana sudah ketagih dan terbiasa!

  1. Saya sukakan rehat dan ketenangan

Saya suka cari masa untuk diri. Rehat dengan cukup. Buat aktiviti yang saya gemari contohnya bercucuk tanam, menulis, membaca atau apa sahaja yang menceriakan hati.

  1. Saya sentiasa cuba untuk jaga solat Tahajjud

Kalau boleh tak mahu dan sangat tak suka nak kongsi ini. Bimbang ada yang fikir saya riak pula. Tapi saya nak ajak semua supaya amalkan yang satu ini. Ia adalah punca bahagia bagi banyak perkara.

Cubalah untuk sentiasa jaga solat tahajjud. Kunci jam, bangun malam. Memang susah, tapi lama-lama dah terbiasa dan susah nak ditinggalkan.

Dan kelebihan Tahajjud ni sangatlah besar. Ramai orang tahu tapi tak ramai yang buat. Jom kita cuba bangun tahajjud mulai hari ini.

Tahajjud adalah “ubat” bagi banyak perkara. Boleh buat kita tenang. Dan orang-orang yang tenang, adalah orang-orang yang menang.

  1. Minum air masak dengan secukupnya

Jangan malas atau culas ya. Cubalah minum air dengan secukupnya selama 2 minggu dah lihat perbezaan pada kulit wajah anda.

Minum banyak air kosong untuk memastikan organ-organ badan berfungsi dengan baik. Jika tubuh badan kekurangan air, ia juga boleh menyebabkan masalah kulit kering dan kusam. Masalah kulit ini membuatkan seseorang itu kelihatan lebih tua daripada usia.

  1. Suka makan ikan

Ini pun kerana sudah terbiasa dari kecil. Lauk kegemaran saya ialah ikan. Semua orang tahu ikan kaya dengan kandungan lemak omega-3 yang tinggi (contoh, salmon dan ikan sardin) baik untuk hati dan sistem saraf. Lemak Omega-3 juga akan memberi anda rambut dan kulit yang sihat.

  1. Makan pisang

Mungkin kebetulan, tapi buah pisang adalah salah satu “snek” kegemaran saya yang menyihatkan. Pisang kaya dengan kalsium yang khasiatnya membantu mengembalikan keseimbangan elektrolit serta menyerap lebihan air yang ada dalam tubuh.

  1. Tomato

Ini dah jadi sebahagian dari ulam kegemaran. Bila dah besar baru saya tahu dalam buah tomato terdapat pigmen merah (likopen) yang khasiatnya boleh membantu untuk memperlahankan proses penuaan.

  1. Skincare

Gunakan skincare. Skincare adalah sama seperti baja untuk pokok. Pasti ada beza pokok yang berbaja dan tidak bukan? Wanita perlu pakai sekurang-kurangnya serum dan sunscreen setiap hari!

Baca Lelaki ini kongsikan tip isterinya rebus kerang tanpa air