Tsunami rakyat itu benar, kata Pengerusi PH Melaka

Tsunami rakyat itu benar, kata Pengerusi PH Melaka

Kurang 24 jam bagi para pemilih membuang undi masing-masing, Pakatan Harapan (PH) Melaka terus memperhebatkan gerakan kempen di tempat-tempat awam.

Pengerusinya Adly Zahari berkata, kempen dari rumah ke rumah sudahpun dilakukan pada peringkat awal kempen.

“Secara keseluruhannya kempen dari rumah ke rumah berjalan baik. Fasa kedua kempen lebih tertumpu di tempat-tempat awam seperti pasar, pasar malam, warung makan, restoran, perkarangan surau, masjid dan lain-lain,” katanya.

Malah calon PKR N17 Bukit Katil itu berkata pihaknya turut menemui ibu bapa yang menunggu anak-anak mereka di luar kawasan sekolah dengan bertanya khabar dan mengedarkan risalah.

Semalam Adly memulakan kempen bertemu ibu bapa pelajar di SK Demang Husin pada sebelah pagi, SK Datuk Palembang pada tengahari dan SRA Jaim (Jabatan Agama Islam Melaka) di Bukit Pulau.

Beliau menyifatkan pengalaman berkempen bertemu penduduk pada pilihan raya umum (PRU) kali ini sebagai ‘menyeronokkan’.

Respons daripada penduduk, katanya amat menggalakkan dan majoritinya inginkan perubahan.

Bahan-bahan kempen yang diagihkan kepada penduduk, katanya jarang ditolak walaupun ada yang mengakui mereka ahli parti komponen BN.

Adly juga berpuas hati dengan sambutan penduduk terhadap ceramah kolompok yang diadakan pada setiap malam.

Malah katanya, ceramah mega PH yang diadakan di Bukit Piatu yang menampilkan para pemimpin utama parti-parti gabungan PH, Jumaat lalu mencatat kehadiran teramai setakat ini.

“Sejumlah RM48,000 derma orang ramai berjaya dikutip pada malam itu,” katanya.

Ceramah mega PH itu, ujarnya menjadi bualan penduduk sehingga kini kerana ramai yang gagal sampai ke tapak program akibat kesesakan lalulintas.

Ceramah mega itu juga, tambah beliau dihadiri penduduk tempatan dan bukannya ‘orang luar’ Melaka.

Sebaliknya jentera kempen BN, ujar Adly tidak melaksanakan ceramah mega sejak hari penamaan calon malah kempen BN dilihat tidak bermaya.

“Nampaknya ceramah kelompok dan gerak kerja PRU BN tidak serancak dulu,” katanya.

Memperkenalkan diri kepada ibu bapa pelajar sambil menyerahkan bahan kempen.

Beliau juga yakin dengan perubahan sikap pengundi Melayu yang dipacu isu kenaikan kos sara hidup akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan ketokohan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.

“Pengundi Melayu khususnya di pinggir bandar nampaknya mula berubah begitu juga pengundi India,” katanya.

Beliau yakin ‘tsunami rakyat’ kali ini akan mengubah landskap politik Melaka yang dahulunya dikenali sebagai kubu BN.

Melaka mempunyai enam kerusi parlimen dan 28 Dun.

Pada PRU lalu, Pakatan Rakyat menang di dua daripada enam kerusi parlimen dan menguasai 7 kerusi Dun.

Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam tewas kepada calon PKR Shamsul Iskandar Mat Akin di kawasan Parlimen Bukit Katil (kini Hang Tuah Jaya) pada PRU lalu.

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0