Ramai rakyat di negara ini nampaknya seronok apabila kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan.
Pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam yang berkuat kuasa serta-merta itu bagaimanapun terkecuali ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing, van pekerja dan van sekolah serta berada di fasiliti kesihatan.
Namun, dalam masa sama, Malaysia dilihat perlu berwaspada dengan penemuan kes radang paru-paru ‘misteri’ di Argentina yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penyakit Legionnaires.
Penyakit tersebut dilapor menjadi punca kematian enam individu di negara itu setakat semalam dengan kes pertama kali dikesan di Tucuman, sebuah wilayah kecil kira-kira 1,287 kilometer (km) barat laut Buenos Aires.
Situasi di Tucuman itu mencetuskan kebimbangan kerana persamaannya dengan gejala permulaan wabak Covid-19 di Wuhan, China pada Disember 2019.
Menteri Kesihatan Argentina, Carla Vizzotti, berkata jangkitan kuman yang jarang berlaku pada paru-paru itu dikenal pasti punca utama radang paru-paru, selepas pesakit mengalami demam panas, sakit badan dan kesukaran bernafas.
Memetik Agensi, dibimbangi patogen yang tidak pernah dilihat sebelum ini mungkin merebak dari haiwan ke manusia.
Pakar mendapati Legionella pneumophila merupakan bakteria dan bukannya virus dengan beberapa bentuk bakteria boleh menyebabkan penyakit Legionnaires yang membawa maut.
Minggu lalu, Presiden Kolej Perubatan Tucuman, Hector Sale menggambarkan penularan jangkitan bakteria itu sebagai ‘agresif’, lapor AFP.
Sementara itu, di Indonesia, bekas Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Asia Tenggara, Tjandra Yoga Aditama mengingatkan rakyat negara itu supaya kekal berwaspada dengan wabak pelbagai penyakit yang menular.
Tjandra turut memberi amaran bahawa penyakit itu menular melalui penyedutan aerosol yang tercemar dengan bakteria serta menerusi air atau ais yang tercemar terutama pesakit yang terdedah atau berisiko tinggi di hospital.
Baca juga Jangan datang tambah bebankan pesakit, ini 13 tips ziarah orang sakit
Baca juga Cegah varian Omicron, Kementerian Kesihatan masih kaji pelaksanaan vaksin untuk golongan memerlukan