Sertai Bersatu: Ikmal Hisham janji terus bangunkan Tanah Merah

Sertai Bersatu: Ikmal Hisham janji terus bangunkan Tanah Merah

Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz berikrar untuk memberi kerjasama dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan pembangunan di Parlimen itu diteruskan setelah permohonannya bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterima semalam.

Ikmal Hisham berkata beliau bersyukur sikap keterbukaan pimpinan PH menerimanya dan lima lagi bekas Anggota Parlimen UMNO.

“Saya mengharapkan kerjasama yang mantap daripada anggota PH Tanah Merah untuk membangunkan daerah ini.

“Penyertaan saya dalam Bersatu adalah sebagai penguat semangat dan suara orang Melayu dalam Parlimen,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan selain Ikmal Hisham, lima lagi bekas pemimpin UMNO yang menyertai BERSATU ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latif Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahya (Tasik Gelugor) dan Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Pada 14 Disember lepas Ikmal Hisham, Hamzah, Rosol, Dr Abdul Latif, Shabudin dan Mohamad Fasiah mengumumkan mengikut langkah bekas pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustaha Mohammad meninggalkan parti.

Ikmal Hisham berkata sebagai bekas anggota Parlimen UMNO beliau memahami sensitiviti pengundinya berikutan tindakan beliau menyertai Bersatu.

“Saya bersyukur akhirnya perjuangan saya untuk terus membangunkan Parlimen Tanah Merah serta menegakkan agama Islam dan hak orang Melayu akhirnya diterima oleh pimpinan pusat terutama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perjuangan politik memerlukan seseorang itu kembali kepada wadah perjuangan masing-masing dan bukan taksub kepada parti yang dianggotai bagi terus membela nasib rakyat,” katanya.

Ikmal Hisham berkata beliau ikhlas dalam menyokong pimpinan Perdana Menteri sebagai pimimpin yang mahu membawa pembaharuan dan kemakmuran negara.

“Sebelum inI timbul dakwaan saya dan pimpinan UMNO yang keluar dari parti mahu buat ‘pusingan U’ kembali kepada UMNO,

“Dakwaan itu tidak berasas dan kami masih utuh dengan keputusan yang diambil,” katanya.

-Bernama