Malaysia Dateline

Sertai Umno Muhyiddin boleh kekal jadi PM, kata Tajuddin

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempelawa Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyertai Umno dengan masih boleh kekal sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Umno dan Bersatu tidak perlu lagi bersaing sesama sendiri pada pilihan raya umum (PRU) akan datang melalui pendekatan tersebut.

Beliau turut mempersoalkan kewujudan Bersatu yang pada masa ini telah bersama Umno, Pas, GPS, MCA dan MIC membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu.

“Selagi duduk dalam parti berbeza, selagi itulah kita akan bersaing antara satu sama lain. Selagi itu tidak akan bersatu.

“Umno parti yang sudah lama, Muhyiddin pun orang Melayu. Apa perlunya Bersatu? Masuklah Umno, boleh jadi Perdana Menteri Umno.

“Kita pelawa, marilah masuk Umno, yang baik-baik mari masuk Umno. Saya rasa orang Melayu Umno boleh terima,” katanya dipetik dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Berhubung kerjasama dalam PN, Tajuddin memberitahu hal itu berpaksikan kerjasama antara Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu dengan menyingkirkan DAP.

Jelasnya, tanpa sebarang kerjasama kukuh, Umno Bersatu akan bertembung seperti sebelumnya pada PRU-15 nanti.

Kestabilan politik, ujarnya, penting bagi memastikan kelangsungan sesebuah kerajaan dapat terus bertahan.

“Parti-parti dalam Perikatan Nasional kena berlaku adil, janganlah cuba melemahkan atau menjatuhkan antara satu parti dan satu parti lain.

“Sebab itulah Umno bersuara dalam isu agihan portfolio kementerian yang dilihat tidak kena dengan jumlah kerusi yang dimiliki mereka,” tambah Tajuddin lagi.