Malaysia Dateline

Sesak di Tambak Johor: Tiada tindakan pro aktif, abai pandangan lain

Tindakan yang tidak proaktif dan tidak mendengar pandangan lain telah mengundang permasalahan yang berlaku terhadap pekerja Malaysia yang berkerja di Singapura apabila mereka kini bersesak di Tambak Johor.

Adun Perling, Cheo Yee How.

Menurut Adun Perling, Cheo Yee How, kerajaan Johor seharusnya bersedia dari awal agar perkara seperti hari ini tidak berlaku di mana pekerja Malaysia kini berpusu-pusu pulang dari negara republik itu selepas tempoh penempatan sementara mereka telah ditamatkan oleh negara tersebut.

Kata Cheo lagi, perkara itu pasti merumitkan apabila keadaan di sempadan pintu masuk negara mula dibanjiri dengan pekerja Malaysia yang pulang ke tanah air.

“Ini mendatangkan permasalahan di mana ramai yang tidak yakin dengan keadaan pusat kuarantin, tambahan dengan kapasiti untuk menampung kebanjiran pekerja yang pulang dari Singapura.

“Seharusnya langkah awal perlu diambil seperti mengadakan rundingan antara kedua negara atau bersedia untuk berhadapan situasi ini.

“Kita ingin tahu sejauh mana pratikal yang dikeluarkan oleh Menteri Besar (MB) Johor semalam (1 April 2020) berkesan yaitu kepulangan rakyat Malaysia dari Singapura secara berperingkat. Hari ini pun saya dimaklumkan kesesakan mula berlaku di Tambak Johor,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini pada 26 Mac 2020, Cheo dalam satu kenyataan telah menyatakan bahawa kerajaan Johor mahu pun pusat perlu bersedia dalam menyantuni nasib lebih 300,000 pekerja rakyat Malaysia di Singapura.

Pemikir AMANAH Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain

Dalam pada itu, Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata tindakan tidak proaktif oleh kerajaan ini membuktikan bahawa kerajaan seolah-olah di cakna dengan nasib golongan pekerja tersebut.

“Kita dapat lihat kerajaan seperti tidak cakna dengan nasib dari mereka yang berkerja di Singapura itu dan hari ini menjadi bukti bahawa kelemahan pentadbiran berlaku sehingga kesesakan seperti ini terjadi di pintu sempadan kedua negara.

“Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah tindakan segera untuk membendung perkara ini seperti menyediakan kakitangan yang mencukupi atau berunding secara terus dengan negara Singapura berkenaan penempatan sementara sekali lagi untuk rakyat Malaysia.

“Kita kesal dengan tindakan kurang proaktif ini dan apa yang dikhuatirkan adalah nasib pekerja serta saringan wabak Covid 19 yang lemah akan diterjemahkan kelak,” tegasnya.

Dalam pada itu setakat tinjauan hari ini menggambarkan keadaan di sempadan negara antara Johor dan Singapura mulai sesak dengan kenderaan yang ingin pulang ke negara ini.