Malaysia Dateline

Sesak nafaskah Annuar Musa dengar pendedahan Zahid malam tadi?

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, hanya enam daripada 190 bahagian Umno seluruh negara setuju untuk pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15.

Katanya, dapatan itu adalah berdasarkan laporan yang dihantar Umno bahagian-bahagian kepada ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

“Dengan itu, suara majoriti perlu dituruti atau kita akan menjadi parti yang lemah,” katanya dalam temubual secara langsung bersama NRChannel TV yang disiarkan di YouTube malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kedudukan sama ada pemilihan parti akan diadakan sebelum PRU15 atau sebaliknya.

Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datok berkata lagi, Pendaftar Pertubuhan atau RoS memberi tempoh kepada Umno sehingga 29 Disember tahun ini untuk mengadakan pemilihan parti.

Umno akan mengadakan Perhimpunan Agung atau PAU2021 pada 16 Mac ini, manakala PAU2022 yang bakal menyaksikan pemilihan parti belum lagi ditetapkan tarikhnya.

Zahid Hamidi menambah, Umno selaku parti akar umbi dan usul berkenaan pemilihan itu akan dibincangkan dalam PAU pada Mac akan datang, seterusnya akan dimuktamadkan oleh MT dan jawatankuasa khas.

Dalam pada itu, Zahid Hamidi turut menafikan dakwaan bahawa 96 bahagian Umno mahu pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15.

“Angka itu dipetik sesuka hati,” jelasnya.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, sebelum mesyuarat perwakilan Umno bahagian seluruh negara baru-baru ini, Annuar Musa adalah menteri yang paling lantang menyeru dan menyarankan agar pemilihan parti diadakan terlebih dahulu sebelum berdepan PRU15.

Diperkatakan dengan hangat dalam Umno, meskipun seruan dan saranannya itu terlihat untuk tujuan agar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dapat menjadi Presiden Umno terlebih dahulu sebelum mendepani PRU15, maksud lain di sebalik saranan itu juga adalah untuk membolehkan dirinya sendiri bertanding salah satu jawatan kanan dalam Umno dalam PAU2022 nanti.

Dengan berjawatan menteri dalam kerajaan, lebih-lebih lagi jika menumpang rakit Perdana Menteri, dipercayai harapannya untuk menang kerusi diidam-idamkan akan turut cerah dengan sendirinya.

Annuar sekarang ini bukan ahli MT setelah tewas bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno kepada Mohamad Hasan dalam pemilihan 2018 lalu.

Tetapi, terbukti sekarang hanya enam bahagian saja yang senada dengannya, sementara majoriti bahagian yang lain lebih mahukan PRU15 diadakan terlebih sebelum pemilihan Umno.

Apa macam sekarang, sesak nafaskah Annuar mendengar pendedahan Zahid Hamidi ini?