Malaysia Dateline

Sesi persekolahan 3 daerah di Kuching ditangguh 3 Ogos

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk menangguh sesi persekolahan bagi sekolah di tiga Daerah Kuching bermula esok hingga 3 Ogos depan.

Menurut kenyataan JPBN, ia adalah berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak).

“Maka dengan ini, JPBN telah memutuskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan bagi sekolah menengah di tiga buah daerah iaitu di Daerah Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020 (esok) ditangguhkan ke 3 Ogos depan.

“Ini melibatkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4, Tingkatan 6 Rendah dan sekolah rendah melibatkan Tahun 5 dan 6 yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020 dan sekolah rendah bagi Tahun 1, 2, 3 dan 4,” ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, sekolah-sekolah yang telah dikenalpasti adalah sebanyak 138 buah dan melibatkan sebanyak 87 sekolah di Daerah Kuching, 48 sekolah di Daerah Padawan dan tiga buah sekolah di Daerah Samarahan.

“Bagi kelas Prasekolah, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

“Keputusan ini di buat berikutan kes penularan Covid-19 di Daerah Kuching yang semakin meningkat.

“Manakala, bagi sekolah-sekolah kawasan hijau yang di luar Daerah Kuching, Padawan dan Samarahan, jadual pembukaan sekolah akan bermula seperti biasa pada 15 Julai 2020,” tegas kenyataan itu lagi.