Ramai tak senang tengok Puteri Sarah menangis di bahu Andi Arsyil, nasihat halalkan hubungan dengan segera

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana kembali menjadi topik perbincangan hangat selepas muncul dalam satu siaran langsung di Tiktok, baru-baru ini.

Menerusi siaran langsung di akaun milik @lumier.malaysia itu, Sarah tampil bersama rakan perniagaannya iaitu usahawan dan juga pelakon asal Indonesia, Andi Arsyil.

Ketika menjalankan sesi untuk mempromosikan produk keluaran mereka berdua itu, raut wajah Puteri Sarah tiba-tiba berubah dipercayai akibat menerima komen negatif.

Duduk bersebelahan dengan Puteri Sarah, Andi Arsyil terlihat segera menenangkan pelakon tersebut sambil memintanya memaafkan semua individu yang menghinanya.

“Kamu maafkan mereka dahulu. Maafkan semua orang yang telah menghina kamu ya, maafkan mereka. Maafkan semua, lihat sahaja itu akan jadi pahala buat kamu.

“Maafkan mereka, sudah. It’s okay. Teruskan senyum, banyak yang sayang dengan kamu. Banyak nasihat abaikan yang toksik,” pujuk Andi sambil membaca komen.

Tersentak dengan cadangan diberi Andi, pelakon Andai Itu Takdirnya tampak tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air matanya di bahu pemuda berkenaan.

Mencuri tumpuan ramai, siaran langsung itu sempat dirakam sebelum dikongsi oleh seorang pengguna TikTok menerusi hantaran yang dimuat naik di platform tesebut.

Seperti yang dijangka, tinjauan di ruangan komen mendapati beberapa pengguna TikTok meluahkan rasa tidak senang melihat aksi mesra di antara Sarah dan Andi.

Bukan itu sahaja, ada juga individu yang mencadangkan agar ‘rakan perniagaan’ tersebut segera melangsungkan perkahwinan bagi menghalalkan hubungan mereka.

“Nasihat aku satu sahaja. Kahwinlah cepat Sarah. Semoga Allah melindungi kamu berdua. Amin,” tulis seorang peminat yang prihatin dengan pelakon berkenaan.

“Apapun keadaan tidak menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan sehingga ia dihalalkan,” kongsi pengguna lain memberikan peringatan kepada mereka berdua.

Ada juga individu yang berpendapat bahawa Puteri Sarah tidak seharusnya terlalu bersedih memandangkan ramai lagi wanita diperlakukan dengan lebih teruk daripadanya.

Terdahulu, Puteri Sarah pernah menepis dakwaan bercinta dengan pemilik nama sebenar Andi Arsyil Rahman dan mengatakan mereka sekadar rakan perniagaan sahaja.

Baca juga: Bukan biasa-biasa keluarga Imran Aqil dan Dahlia, siap jemput Rosmah Mansor datang kenduri kahwin