Malaysia Dateline

Sesungguhnya ia satu amanah

ULASAN: Saya ingin merakamkan di sini sebahagian dari apa yang saya ucapkan semasa penggulungan pimpinan pada hari terakhir Konvensyen Amanah kali ke-4 yang telah diadakan di IDCC Shah Alam pada 6,7,8 Disember 2019.

Ia berkenaan AMANAH dan kemunculannya pada masa yang pantas. Saya mengajak perwakilan merenung kembali sejarah AMANAH dan terus mempertahankan dasar Kerajaan Pakatan Harapan yang disalahertikan.

Ketika AMANAH diasaskan dan dilancarkan 4 tahun yang lalu di tempat yang sama kita berhimpun hari ini, ada semacam rasa inferioriti-kompleks kerana AMANAH tiada nama besar seperti parti lain. Nama YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dikaitkan dengan PKR dan tidak syak memang besar ketokohan beliau. Bila sebut DAP nama besar seperti YB Lim Kit Siang sudah menempa nama yang sangat dikenali, kemudian parti Bersatu ada nama Tun Dr Mahathir Mohamad yang sememangnya terkenal seantero dunia. AMANAH ada siapa?

Ya betul, kita ada Mohamad Bin Sabu Presiden kita, atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu, namun bagi mengatasi perasaan ini kami telah memilih untuk menjenamakan AMANAH bukan melalui tokoh secara individu tetapi kepimpinan secara berpasukan. Itulah kepimpinan yang ada di hadapan anda hari ini membawa AMANAH secara sepasukan dan kita boleh berbangga hari ini dengan sedikit keberhasilan yang kita raih melalui kepimpinan secara sepasukan.

Kita ditanggapi dengan berbagai persepsi negatif sebelum kita berada di tempat kita hari ini. Awalnya kita dilabel Anwariyun, Khadam DAP, Pengkhianat dan kita dihantui dengan label dari orang ramai sebagai parti serpihan Pas.

Namun kita berjaya keluar dari tanggapan ini melalui pemikiran parti kita yang jelas ideologinya dan gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin yang kita usung bersama. Kedua kita muncul saat rakyat mahukan ide yang segar bugar memimpin perubahan dan kita telah memenuhinya dan ketiga AMANAH tidak akan kuat tanpa rakan-rakannya yang membentuk koalisi politik kesepakatan. Oleh itu jagalah kesepakatan kita dan janganlah melakukan sesuatu yang melukai persahabatan dan kesepakatan kita.

Tahun ke 3 parti AMANAH telah membawa kita di suatu pesada yang kita sukar impikan. Usai PRU ke 14 kita telah mendapat mandat rakyat menjadi kerajaan, malah diberi amanah menjaga sebahagian porfolio eksekutif sebagai Menteri dan Timbalan Menteri. Parti yang baru sahaja berputik dan memerlukan sentuhan bimbingan mendapati dirinya terabai seketika.

Kami cuba sedaya upaya membahagikan masa antara tugasan resmi negara dan membina parti dan oleh kerana setahun setengah dengan berbagai kerenah pemerintahan, parti diberi masa yang tidak optima. Saya tahu ramai ahli berkecil hati malah kecewa dengan keadaan ini dan kerana itu saya ingin memohon MAAF tidak terhingga kepada semua ahli mewakili kepimpinan di hadapan ini kekurangan kami dalam tempoh menjadi pimpinan parti.

Sebagaimana kami juga amat terharu kepada kepercayaan yang telah diberikan sekali lagi untuk kami memimpin. Terimakasih, terimakasih sehingga saya merasakan mahu menebus segala kekurangan kami dengan mandat baru ini agar kami lebih bersemangat membina parti ini bersama anda semua.

Hari ini kita berkonvensyen bukan sebagai pembangkang kita adalah parti pemerintah, sebahagian kami menteri-menteri adalah mewakili dasar pemerintahan Pakatan Harapan. Segala kelemahan dari mana-mana kementerian walaupun bukan dari parti kita harus diambil tanggungjawabnya bersama. Menyalahkan kelemahan pada kementerian tertentu tidak menyelesaikan masalah kerana berbagai kerenah harus ditangani secara bersama.

Dalam hal Kementerian Penerangan dan penyampaian terhadap dasar kerajaan yang dikatakan lemah, ia perlu dilihat secara holistik seperti isi yang hendak diterangkan perlu datang dari berbagai kementerian, isu daulah terpendam yang masih menebal dan falsafah kebebasan media yang kita pertahankan perlu diterjemahkan. Kita tidak mungkin bercanggah dengan dasar kebebasan media yang kita sendiri perjuangkan, saya harap janganlah kritikan kita mengguriskan hati rakan kita, kita ambil tanggungjawab kelemahan ini bersama.

Saya juga didatangi oleh ahli bukan Islam mengadu hal dalam penyediaan makanan yang tidak dilabelkan mana daging kambing dan mana daging lembu. Kita semua tahu sensitiviti kaum India terhadap daging lembu. Sebagai parti yang inklusif hal ini perlu diberi perhatian biarpun pada sesetengah pihak dianggap kecil. Saya mohon maaf kepada rakan ahli kita non-muslim kerana kurang prihatinnya kita terhadap sensitiviti mereka.

Saya juga agak kecewa sebagai parti berbagai kaum, corak pengundian kita masih pada garis ras, rakan kita berbagai kaum dari keturunan India dan Tiong Hua tidak langsung berada dalam senarai pilihan kita. Mengapa ini berlaku? Mereka telah meletakkan kesetiaan yang tinggi kepada AMANAH dan meyakini konsep Rahmatan Lil Alamin yang kita perjuangkan. Mereka adalah ahli penuh dan saudara dan saudari separti, mereka bukan ahli kelas kedua! Walaubagaimanapun corak pengundian kita pada hari pertama, saya ingin memberi jaminan, AMANAH tetap akan memastikan dalam struktur kepimpinannya yang lengkap nanti, kepelbagaian kaum akan tetap menjadi keutamaan kami.

Dalam Manifesto Harapan, kita menetapkan bahawa struktur subsidi perlu berubah dari subsidi pukal kepada subsidi bersasar. Dalam bajet 2020 hasrat ini diterjemahkan dalam program Program Subsidi Petrol (PSP) sebanyak RM 2.2B yang akan memberi menfaat kepada 8 juta rakyat. Adalah tidak benar M40 tidak akan menikmatinya sebagaimana didakwa oleh wakil Pahang yang berucap. Dari 8 juta penerima 3 juta adalah dari B40 manakala 5 juta dari kelompok M40.

Begitu juga dengan berbagai insentif lain M40 diberi keutamaan termasuk pelepasan cukai RM 6ks untuk bayaran perubatan yang kritikal serta pemeriksaan kesuburan dan suntikan pnmeuccol vaksin secara percuma dll insentif keseluruhannya 10 senarai. Tidak benar kita membuat rumusan M40 tidak terbela tanpa melihat keseluruhan pakej bajet 2020 yang merupakan bajet kita bersama.

Marilah kita pertahankan kerajaan PH yang sama-sama kita dukungi, kerajaan PH yang kita berhasil lakukan bersama penolakan terhadap kerajaan kleptokrat Najib ‘bossku’. Ini adalah kerajaan kita, parti kita dan Pakatan Harapan kita demi mempertahankan Malaysia Baharu yang amat memerlukan kita dan rakan-rakan menerajuinya…*

*Penulis adalah Naib Presiden AMANAH Negara