Setahun 12 kali banjir, penduduk Dun Bakar Bata kecewa MB tidak peduli

Setahun 12 kali banjir, penduduk Dun Bakar Bata kecewa MB tidak peduli

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah

Setahun terpaksa mengharungi air banjir separas dada adalah satu pengalaman pahit yang amat menakutkan bagi penduduk yang tinggal di Kampung Alor Gunung, Dun Bakar Bata yang diwakili oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurut penduduk kampung tersebut, mereka sudah tidak sanggup lagi untuk berpindah randah sehinggakan terpaksa mengambil keputusan meletakkan barangan mereka seperti peti sejuk, perabut dan sebagainya setinggi satu meter.

Kesulitan ini amat mengecewakan kerana ramai dari penduduk kawasan tersebut merupakan golongan miskin lagi daif.

Sopiah Hussin

Sopiah Md Hussain berkata, beliau terpaksa mengharung air banjir sehingga paras dada pada waktu malamtahun lalu.

“Cuba bayangkan, saya terpaksa mengharung air banjir setinggi paras dada untuk menyelamatkan barangan keperluan dan anak-anak yang sedang tidur.

“Lebih mendukacitakan kami terpaksa meletakkan barangan seperti peti sejuk, almari dan keperluan lain ditempat yang lebih tinggi setiap kali hujan turun dengan lebat.

“Keadaan ini telah berlarutan sehingga 12 kali banjir sejak tahun lalu, tetapi tidak diberi perhatian oleh wakil rakyat kawasan ini yang juga merupakan Menteri Besar Kedah, ” ujarnya kesal ketika ditemui.

Manakala Mat Desa Daud pula berkata, beliau juga terpaksa meletakkan barangan perabutnya ditempat yang lebih tinggi setelah tidak berdaya untuk memindahkan barangan tersebut dengan kerap.

“Usia saya sudah 67 tahun dan tidak lagi mampu untuk mengangkat barang-barang keperluan setiap kali banjir melanda.

“Sejak tahun lalu sebanyak 12 kali banjir melanda kampung ini.

Ramlah Hussain

“Tapi apa yang dikesalkan kami tidak tahan lagi dengan musibah ini kerana air naik dengan cepat sehingga ke paras dada, ” jelasnya lagi.

Sementara itu Ramlah Hussain pula berkata, beliau amat gerun setiap kali hujan turun dengan lebat kerana banjir akan melanda dengan begitu cepat sekali.

“Setiap kali hujan turun dengan lebat, pasti kawasan ini akan dilanda banjir yang amat menakutkan.

“Pernah kami terperangkap dan tidak dapat keluar kerana sekeliling kawasan ini telah pun ditenggelami air yang begitu tinggi.

“Mahu atau tidak terpaksalah berlindung ditingkat atas rumah walaupun keadaan rumah ini turut uzur kerana rumah yang sudah lama, ” katanya lagi.

Ir Zamri Yusuf (kiri) menunjukkan perabut yang terpaksa diletakkan ditempat yang lebih tinggi di rumah Mat Desa Daud.

Bekas Ahli Dewan Negara, Ir Zamri Yusof pula berkata, sepatutnya Menteri Besar Kedah mengambil tindakan segera dengan turun padang dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah penduduk.

“Selama tiga penggal beliau menjadi wakil rakyat kawasan Dun Bakar Bata, masalah ini sudah sepatutnya diselesaikan.

“Takkanlah wakil rakyat tidak sedar masalah yang dihadapi oleh penduduk sehinggakan terpaksa mengharung banjir sebanyak 12 kali setahun.

“Kekecewaan penduduk dalam kawasan yang diwakili oleh MB Kedah tersebut membuktikan ia tidak peduli, tidak prihatin terhadap masalah golongan miskin dan daif yang memerlukan dokongan kerajaan yang memerintah, ” tegasnya.

Sejajar dengan itu tambahnya, pengundi dalam kawasan Dun Bakar Bata yang diwakili oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Anipah, harus sedar dan bangkit dengan menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Kata Zamri lagi, selama tiga penggal mewakili Dun Bakar Bata membuktikan tempoh yang amat lama, sebaliknya wakil rakyat tersebut tidak mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat yang berlarutan begitu lama.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS