Malaysia Dateline

Setahun Langkah Sheraton: Pendidikan negara mula malap

Beberapa hari yang lalu, merupakan genap setahun langkah pemula secara terangan usaha menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan pelbagai cara.

Paling awal meraikan kejayaan setahun kerajaan PH jatuh ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Takiyuddin Hassan dari Pas dengan menyatakan bahawa kejatuhan kerajaan PH merupakan satu peristiwa bermakna kepada pemulihan negara.

Namun, tidak perlu PH menjawab kenyataan tersebut, para netizen warga maya pantas membidas dengan pelbagai reaksi.

Ahli politik terutamanya PH menekankan bahawa langkah sheraton merupakan satu permulaan kepada kerosakan demokrasi negara seterusnya kepimpinan yang longgar dan tipis menjadikan negara hilang keyakinan dan tadbirurus kecacatan.

Namun, harus diingati juga bahawa langkah ini merupakan permulaan kepada proses mencampakkan sistem pendidikan ke lembah yang paling hina.

Lihat sahaja selepas langkah tersebut banyak tindakan yang telah mengubah seratus peratus dasar yang dibentuk ketika PH memerintah yang pastinya memberi kesan kepada murid-murid.

Antaranya ialah:

a. Memisahkan antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Langkah ini telah menterkebalakangkan usaha yang diwujudkan dari dua segmen ini memandangkan ia merupakan satu aliran yang sama. Penyatuan KPM dan KPT adalah untuk memastikan kesinambungan pendidikan seseorang itu dapat dijalankan sepanjang hayat dengan asas penyelarasan antara keduanya. Tetapi setelah dipisahkan, berbagai kecelaruan yang berbangkit serta perbezaan hala tuju antara pendidikan arus perdana dan pendidikan tinggi. Tambahan lagi, kedua-dua menteri di KPM dan KPT dilihat tidak mampu menjalankan tugas secara bersama yang menambahkan lagi kekabutan sistem pendidikan. Adakah pemisahan dua kementerian ini untuk memastikan semua penyokong kerajaan dilantik sebagai menteri?

b. Kegagalan Menteri Pendidikan membina hala tuju Pendidikan Negara.

Sejak pimpinan kerajaan PN memimpin KPM, belum ada satu kerangka dasar yang dibentangkan kepada umum berkaitan hala tuju pendidikan negara. Walaupun ia berkaitan dasar yang kecil sahaja contohnya berkaitan pengusaha kantin, kemenjadian murid atau lain-lain yang bukannya asas utama pendidikan tidak pernah dibentangkan hampir setahun memimpin. Kegagalan Menteri Pendidikan membentangkan dasar-dasar kecil ini telah menambah keserabutan dalam pendidikan yang sedia kelam-kabut akibat langkah sheraton. Jika ditanya soal dasar pendidikan yang ingin dibawa oleh pucuk pimpinan ini lagilah tidak kedengaran sama sekali. Adakah pemimpin politik yang ada di KPM lebih memikirkan soal mempertahankan kerajaan sedia ada berbanding menyelesaikan isu pendidikan negara?

c. Pendidikan negara telah menjadikan jurang miskin – kaya makin melebar.

Selepas kerajaan PN memerintah, pandemik telah melanda negara dengan kadar yang lebih membimbangkan sehingga memaksa PKP dilaksanakan. Ia telah membataskan proses pendidikan secara bersemuka dan digantikan dengan PdPR. Namun, ketidakupayaan golongan B40 dan M40 menyediakan kelengkapan untuk PdPR telah merencatkan proses pembelajaran untuk semua. Lebih malang lagi, KPM yang diketuai Menteri Pendidikan masih tidak memberi petunjuk apakah status terkini bantuan komputer riba buat 150 000 orang murid B40. Kegagalan KPM menyediakan bantuan kepada golongan ini menyebabkan mereka gagal mendapat akses pendidikan yang sewajarnya seterusnya menempatkan mereka dari kalangan tidak berpelajaran dan kekal miskin. Orang kaya kekal kaya kerana mampu mendapat akses pendidikan, orang miskin kekal miskin kerana tidak mampu mengakses pendidkan. Itu hakikatnya!!Adakah YB Menteri hanya menjaga golongan kayangan semata-mata???

d. Meminggirkan syor-syor yang telah diberikan oleh Jawatankuasa Kajian Dasar (JKD) Pendidikan.

Semas PH memerintah, KPM berjaya menubuhkan JKD Pendidikan yang bertujuan mengkaji pelbagai saranan khusus untuk mereformasikan semula pendidikan negara. Sehingga langkah sheraton dilaksanakan, JKD Pendidikan telah membentangkan syor-syor mereka kepada Menteri Pendidikan ketika itu Dr.Maszlee Malik seterusnya kepada YAB Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir setelah laporan syor JKD dilakukan ujian makmal. Malangnya, laporan syor JKD Pendidikan tidak dinyatakan perkembangannya setelah KPM bertukar tangan. Usaha yang dilakukan untuk mengubah sistem pendidkan secara holistik tidak dipandang secara serius oleh pihak KPM dan boleh dianggap sebagai sistem pendidikan negara kini tidak lagi mampu berfungsi untuk memanusiakan masyarakat. Adakah Menteri dan dua timbalannya ego atas usaha yang dilakukan oleh kerajaan PH??

e. Menambah beban guru sebanyak yang mungkin.

Sejak pandemik melanda, terlampau banyak tugas yang bukan mengajar telah diberikan kepada guru-guru. Surat Pekeliling diturukan secara tanpa diwar-warkan kepada masyarakat bagi memastikan warga maya tidak mengkritik tindakan membebani tugas guru. Guru diminta menyemak suhu murid, menjaga penjarakan fizikal dan guru perlu menyedikan laporan sebelum dan selepas PdPR bagi membuktikan guru telah menjalankan tugas. Selain itu, keterbatasan masyarakat untuk bergerak menyebabkan guru mengambil tugas sebagai pengagih buku teks, penghantar kerja sekolah dan membantu menguruskan murid sakit yang pastinya guru terdedah kepada risiko besar. Adakah KPM tidak melihat bahawa membebani tugas guru akan merencatkan prestasi guru ketika mengajar??

Ini merupakan tanda-tanda bahawa sejak langkah sheraton bermula, sistem pendidikan negara telah menuju zaman gelapnya dan kesannya akan dilihat 10 tahun lagi apabila rakyat kita terus miskin dan tidak berilmu secara formal.

Meskipun kesal dengan langkah sheraton ini, namun ia telah melondehkan wajah parti berasaskan agama yang tidak mampu memberi manfaat langsung kepada pendidikan walaupun menjadi sebahagian kerajaan.

Rakyat telah berjaya mendapat penilaian yang adil antara BN-PH-PN siapakah yang mampu menerajui kepimpinan pendidikan negara dan akan ditentukan dalam PRU akan datang.