Siapa sangka dalam tempoh lima bulan ini, penyanyi Marsha Milan berjaya tampil dengan dua buah lagu baharu sehingga salah satunya dipilih sebagai lagu tema untuk drama Aku Bukan Ustazah yang sedang hangat bersiaran di TV3.
Lagu terbarunya Hening Rindu muncul selepas Marsha mencipta fenomena dengan single Dulu Kini Dan Akhirnya yang menjadi lagu tema drama bersiri Lelaki Itu yang tamat bersiaran baru-baru ini.
Lagu Hening Rindu adalah hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fattana dan Wan Salleh dan liriknya ditulis oleh Wan Salleh sendiri serta merupakan lagu single yang ke-9 Marsha bersama Alternate Records & Talents
Menurut Ikhwan Fatanna selaku komposer, vokal Marsha yang sangat luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam Hening Rindu.
“Ini merupakan kolaborasi saya yang pertama dengan Marsha dan dia merupakan penyanyi yang sangat hebat! Saya teruja untuk melihat kejayaan Marsha membawakan lagu Hening Rindu.
“Ia merupakan sebuah lagu balada yang penuh dengan emosi dan perasaan rindu yang mendalam. Melalui melodi yang memukau, liriknya dibuai oleh gambaran perasaan kehilangan, kenangan yang berharga, dan cinta yang abadi walaupun dipisahkan oleh jarak dan waktu.
“Lagu ini menyentuh hati pendengar dengan tema universal tentang cinta dan rindu yang dialami oleh setiap insan,” kata Ikhwan seperti dilapor Xtra.
Menurut Marsha pula, dia berbesar hati dapat menyampaikan single Hening Rindu untuk dijadikan OST Aku Bukan Ustazah.
“Saya sangat berbesar hati dapat menyumbangkan suara sekali lagi untuk lagu tema drama bersiri Aku Bukan Ustazah. Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam.
“Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang disampaikan. Melodinya syahdu, sarat dengan maksud tersirat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hati saya ketika merakamkannya.
“Mendengar melodi Hening Rindu sangat menangkap hati, saya terus menyukainya dan bersetuju untuk berkolaborasi. Lagu dan video ini sangat istimewa bagi saya, sesuatu yang saya rasa kita semua mungkin pernah rasa. Ia membawa kembali suasana balada tahun 90-an tetapi dengan sentuhan yang moden,” ujarnya.
Baca juga: Guna 1 bahan je! Ini cara nak buat dapur berkilat tanpa keluarkan duit banyak