Malaysia Dateline

Setahun urus Melaka, wang kerajaan negeri meningkat jadi RM60 juta dari RM18 juta

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari memberitahu bahawa negeri itu mempunyai lebihan wang kerajaan sehingga RM60 juta ketika beliau meninggalkan pejabat Ketua Menteri pada tahun lalu.

Menurutnya, itu satu rekod kejayaan pimpinannya kerana ketika beliau mengambil alih Melaka pada 2018, wang kerajaan negeri hanya berjumlah RM18 juta.

“Saya masih ingat ketika kita ambil alih kerajaan Melaka dahulu lebihan wang kerajaan negeri hanya RM18 juta.

“Lepas setahun kita urus Melaka, lebihan wang kerajaan negeri meningkat jadi RM60 juta.

“Untuk bantu orang Melayu dan Bumiputra saya tubuhkan Dana Harta Bumiputra. Dalam tempoh setahun kita berjaya kumpul RM33 juta,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya malam tadi.

Menurutnya, tujuan dana tersebut ditubuhkan adalah khusus untuk membantu orang Melayu dan Bumiputra membuat pinjaman perumahan dan pinjaman mikro perniagaan.

Bagaimanapun katanya, selepas mandat rakyat diusik banyak rancangan tidak dapat diteruskan.

“Sebenarnya dalam tempoh 22 bulan itu banyak inisiatif untuk rakyat telah berjaya kita buat tapi malangnya bila mandat rakyat telah diusik, banyak rancangan itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya lagi.