Malaysia Dateline

Setakat 8 Oktober, 89.4% sudah lengkap vaksin

Setakat 11.59 malam tadi sebanyak 89.4 peratus atau 20,927,867 daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19

Peningkatan sebanyak 0.3 peratus kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa berbanding sehari sebelum itu (7 Okt) 89.1 peratus menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi kini berbaki hanya 0.6 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 94.7 peratus atau 22,166,911 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, menurut Bernama sejumlah 174,820 dos suntikan vaksin diberikan semalam (8 Okt) bagi golongan dewasa melibatkan 74,199 individu bagi suntikan dos pertama dan 100,621 individu bagi suntikan lengkap.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 45,379,299.

Sementara itu, setakat semalam sebanyak 177,029 atau 5.6 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah melengkapkan suntikan vaksin manakala 70.4 peratus atau 2,217,920 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.