Setem khas edisi terhad Tun Mahathir untuk kumpul dana Tabung Harapan

Setem khas edisi terhad Tun Mahathir untuk kumpul dana Tabung Harapan

Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan setem khas edisi terhad sempena ulang tahun ke-93 Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 10 Julai ini.

Menurut Pos Malaysia selain daripada memberi penghormatan kepada Tun Dr. Mahathir, penjualan folder set ini adalah bertujuan untuk mengumpul dana bagi Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) di mana setiap RM5.00 daripada hasil jualan folder set ini akan disalurkan kepada Tabung Harapan.

Folder set ini mengandungi tiga reka bentuk Setem Ku yang memaparkan saat-saat ceria serta keakraban antara pemimpin utama negara bersama Tun Dr. Siti Hasmah, serta detik bersejarah semasa upacara angkat sumpah Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

Setem Ku yang memaparkan tiga reka bentuk setem yang berbeza ini mempunyai nilai muka berjumlah 60sen setiap satu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak Tun Mahathir telah dedikasikan seluruh hidupnya demi kebaikan negara dan inilah cara pihaknya mengucapkan terima kasih atas segala usaha dan sumbangannya kepada Malaysia

“Kami hanya mengeluarkan 100,000 keping bagi setiap reka bentuk Setem Ku (kesemuanya 300,000 keping). Oleh itu saya ingin menggalakkan semua orang mengambil peluang ini dengan segera kerana ia tidak akan dikeluarkan lagi sebaik sahaja koleksi ini habis dijual.

“Bawalah pulang koleksi bersejarah ini dan menyumbang kepada Tabung Harapan,” katanya.

Set lengkap ini boleh didapati pada harga RM93.00 setiap satu dan boleh didapati di semua Pejabat Pos Besar, pejabat pos terpilih dan eziEmall.com.