Malaysia Dateline

Setia pada raja, patuh pada Putrajaya perlu seiring, kata Khaled

Mohamed Khaled Nordin berkata setia kepada institusi diraja dan patuh kepada kerajaan adalah perkara asas dalam kewujudan Malaysia dan keduanya perlu seiring.

Naib presiden Umno itu berkata, kedua perkara tersebut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Negara kita amalkan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Ia menjadi asas kepada kewujudan negara kita. Jadi tidak wajar persoalkan mana satu yang atasi yang lain. Apabila wujud kedua-duanya, ia menjadi elemen semak dan imbang serta perlu ada dalam negara pada hari ini.

“Kerajaan dan raja-raja perlu patuh pada perlembagaan negara. Kalau kedua-dua pihak hormati dan ikut, saya percaya kita tidak akan hadapi masalah.

 “Kita sejak dari awal sudah terima hakikat negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya dalam program bual bicara di media sosial hari ini seperti dipetik FMT.

Bekas menteri besar Johor itu berkata, sepanjang 5 tahun beliau menerajui kepimpinan negeri sewaktu Barisan Nasional (BN) mentadbir, beliau pernah berada dalam situasi tersepit, sama ada perlu menyokong keputusan Putrajaya atau mempertahankan kehendak istana.

“Tidak dinafikan ada kalanya berlaku keadaan di mana pandangan pusat, negeri dan pandangan pihak istana tidak sama, malah ada yang bercanggah ataupun langsung tidak dipersetujui. Memang ada pandangan pusat tidak diterima istana.

“Saya laluinya secara peribadi namun perlu lakukan perimbangan untuk pastikan walaupun wujud perbezaan pandangan ia tidak mengancam perjalanan pentadbiran kerajaan di peringkat negeri. Namun tidak bermakna pusat dan istana tidak boleh bekerjasama,” katanya.

Khaled berkata, kegagalan seseorang menteri besar melakukan imbangan dalam berkomunikasi sebagai penghubung antara istana dan kerajaan persekutuan, akan menyebabkan masalah jadi lebih buruk.

“Kegagalan ini akan menyebabkan ‘breakdown’ komunikasi yang menyebabkan masalah timbul. Memang berlaku semasa saya memimpin negeri, ada kerabat istana merajuk hingga saya tidak dapat mengadap. Jadi saya kena gunakan kekuatan peribadi untuk atasi perkara itu seperti bersikap rasional,” katanya.

Khaled berkata demikian ketika wujud percakaran terbuka antara Istana Johor dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Hubungan antara Putrajaya dengan Istana Johor tegang sejak kebelakangan ini berkaitan beberapa isu seperti ratifikasi Statut Rom, peletakan jawatan menteri besar Johor, Osman Sapian dan cadangan mengganti perdana menteri.