Malaysia Dateline

Setiakawan dan jiwa besar pemimpin PH teruji

Keberantakan politik tanah air sejak beberapa hari ini, jelas menunjukkan ia berpunca daripada durjana elit-elit politik yang mengejar posisi dan nama.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Senator Aiman Athirah Al Jundi menyifatkan, selamanya nama, sosok dan tindakan mereka akan terpahat dalam sejarah petualang pengkhianat amanah dan mandat rakyat Malaysia.

“Kita bangsa Malaysia tidak akan pernah lupa. Kemelut politik ini jelas angkara durjana elit-elit politik yang mengejar kedudukan dan nama, sekalipun dengan menggunakan apa jua kaedah, termasuk cara paling hina.

“Fasa kedua pentadbiran Pakatan Harapan ini (InsyaAllah), kita akan lebih jelas mengenal siapa kawan dan siapa lawan. Si jujur atau si empunya agenda peribadi dan kelompok.

“HARAPAN adalah usaha gigih politikus-politikus jalanan merakyat, politikus-politikus teruji dengan hujan panas, ribut badai kezaliman regim kleptokrat terdahulu.

“HARAPAN juga adalah politikus-politikus yang mengenali dunia pasungan, jeriji besi dan pembantaian regim penguasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun badai sedang melanda pentas politik tanah air ketika ini, Aiman Athirah tetap tidak patah semangat dengan menyifatkan tiada yang berupaya untuk memisah semangat setiakawan dan janji ikrar blok Pakatan Harapan itu sendiri.

“Justeru, di kala kamu usaha memecah, mendobrak setiap inci kekuatan ini dengan pelbagai tawaran dan habuan, setiakawan HARAPAN kekal berada di barisan hadapan!.

“Rakyat jangan pernah ada keraguan. Saya menyeru kepada sahabat-sahabat seperjuangan iaitu Srikandi, Armada-Bersatu, jika kalian mahukan pembohongan dan mengejar nafsu kesenangan, tinggalkanlah kami.

“Namun jika sebaliknya kalian mahukan kebenaran, kejujuran dan keikhlasan membangunkan negara bersama seluruh bangsa Malaysia Merdeka tanpa cemuh sesama lantaran berbeza warna kulit, bangsa dan agama, maka ayuh kembali bersatu bersama keluarga besar Pakatan Harapan ini!,” seru beliau.

Susulan kemelut yang melanda dunia politik tanah air, Aiman Athirah turut mendoakan agar segalanya kembali tenang satu hari nanti.

“Saya berdoa, semoga satu hari nanti arena politik negara tercinta ini kembali menjadi tenang insyaAllah,” katanya.

Aiman Athirah menambah, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya mempunyai jumlah ‘undian tertinggi’ jauh meninggalkan nama-nama lain bagi calon jawatan Perdana Menteri.

“Beliau masih mempunyai peluang untuk meneruskan percubaan mendapatkan majoriti mudah, tetapi beliau memilih agar kerajaan PH itu segera dibangunkan dan kembali kepada status quo.

“Beliau memilih untuk mengutamakan kestabilan negara dan perkara yang paling mudah untuk semua,” ujarnya lagi.