Malaysia Dateline

“Setiap gandum berharga”- Dunia akan hadapi krisis kelaparan yang tak pernah berlaku

Dunia diberi amaran akan menghadapi krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ketua Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy berkata, setiap biji gandum adalah berharga dan dunia perlu mengelakkan pembaziran.

Memetik Bermama, semua institusi antarabangsa bersetuju dengan jangkaan krisis itu termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ulusoy turut memetik laporan antarabangsa bahawa 811 juta orang kekurangan zat makanan dan 276 juta hidup dalam kedaifan.

“Setiap biji gandum berharga, kita mesti mengambil langkah mengurangkan kelaparan dengan mengelakkan pembaziran serta mencegah kerugian.

“Pengilang mesti berusaha untuk melindungi setiap gram bahan mentah.

“Sekiranya gangguan rantaian bekalan disebabkan krisis di Ukraine gagal diselesaikan, 47 juta lagi orang akan berdepan ancaman kemiskinan,” katanya.

Untuk rekod, Ukraine antara pengeksport gandum utama dunia telah menggantung eksportnya akibat operasi ketenteraan Rusia di negara itu.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, stok gandum dunia akan berkurangan sebanyak 12 juta tan metrik.

Beliau berkata Ukraine menaikkan stok gandum daripada sejuta kepada 6 juta tan tahun ini serta menegaskan India bersedia memenuhi defisit gandum tetapi selepas peningkatan suhu yang tidak dijangka, negara itu turut menghentikan eksport gandum buat masa ini.