Malaysia Dateline

‘Setiap hari semak BPN tapi satu sen pun tak masuk lagi’

Orang ramai mula menimbulkan isu kelewatan bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) apabila sebahagian besar penerima B40 sepatutnya sudah menerima bayaran berkenaan minggu lalu dan selewat-lewatnya semalam bagi kategori M40.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, masih ramai yang mengeluh kerana baki bantuan masih belum lagi dikreditkan ke akaun mereka biarpun sepatutnya dimasukkan pada 21 Januari yang lalu.

Pengguna akaun @MohdAdham meluahkan rasa kesal kerana sepatutnya wang pendahuluan i-Sinar akan dikreditkan hari ini, tetapi mendakwa baki bayaran BPN masih belum dimasukkan.

“Sepatutnya hari ini dah masuk untuk interim I-Sinar. Tapi BPN pun tak masuk lagi. Dahlah aku dan keluarga kena swab test guna duit sendiri,” tulis @Mohd Adham.

Pengguna akaun @mattsepul juga mengatakan kebanyakan golongan B40 masih lagi belum dapat baki wang berkenaan.

“Tiap-tiap hari semak akaun mulai Januari 21 sampai pagi tadi. Satu sen pun tak nampak,” tulis @Min6320.

Sementara itu @azrulChoi pula berkata, “walaupun hanya RM100, aku masih nak.”

“Ramai yang belum (dapat). Sikit saja yang sudah (dapat). Yang sikit tu depa dok war warkan nampak macam buat kerja,” tulis @chedin_bm

Sementara itu, pengguna @S_mayaC berkata, menerusi komen warganet di kumpulan Facebook BPN, sememangnya masih ramai lagi golongan B40 yang belum dapat baki wang berkenaan.

Dia juga berpendapat, kerajaan harus memaklumkan tarikh akhir kepada penerima dan tidak membiarkan mereka tertunggu-tunggu.

“Rasanya jika tengok komen di Twitter dan FB group BPN, masih ramai yang belum dapat. Kebanyakannya golongan B40. Kesian tengok yang mengharap.

“Sekurang-kurangnya bagilah tarikh akhir bila patut jangka. Tidaklah mereka tertunggu-tunggu tapi tak masuk-masuk,” katanya.

Terdahulu, proses pembayaran BPN 2.0 fasa pertama telah dimulakan secara berperingkat bermula 19 Oktober lalu membabitkan 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataannya pada 13 Januari berkata, pengkreditan baki wang bayaran BPN akan dimasukkan pada 21 Januari (B40) dan 25 Januari (M40).