Malaysia Dateline

Setiap inci tanah Johor akan PH pertahankan, kata Salahuddin

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Harapan (PH) akan tetap mempertahankan walau seinci sekali pun tanah negeri Johor.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khalid NordinĀ  berhubung penjualan tanah negeri itu kepada orang luar yang disifatkan beliau sebagai simplistik dan tidak patriotik.

“Hujah MB Johor yang mengatakan bukan masalah besar tanah Johor digadaikan kepada orang luar atas alasan kerana ia hanya 0.01 peratus sahaja daripada keluasan tanah Johor adalah sangat tidak patriotik dan jelas tidak cintakan negara,” kata Salahuddin dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata beliau, pejuang-pejuang terdahulu sanggup mempertahankan tanah tercinta sehingga ke titisan darah terakhir walau seinci tanah sekalipun. Kini MB Johor seolah-olah ingin menjadi petualang kepada negara dan rakyat Negeri Johor.

“Adakah beliau sanggup melihat sekelumit tanah di Johor digadai kepada negara luar? Adakah Kerajaan Negeri Johor tidak ada idea yang lebih bernas untuk membangun negeri sehingga sanggup membiarkan tanah 0.01 peratus itu?

“Johor sangat berpotensi dalam pelbagai bidang yang lain seperti industi pertanian, perdagangan, perindustrian dan yang lebih terkini ialah mendepani revolusi industri keempat.

“Jangan hadkan sumber hasil negeri dan potensi negeri kepada aspek yang akan menjejaskan kedaulatan negara amnya dan negeri khususnya,” kata Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara itu.

Kata beliau, sempena tahun 2018 yang baru berkunjung tiba, menjadi misi besar kita bersama untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju dan adil ekonominya kepada semua rakyat.