Malaysia Dateline

Populari rakyat Malaysia bagi tahun 2016 sudah mencecah 31juta orang.

Setiap rakyat perlu utamakan perpaduan, keharmonian kaum, kata NGO

Setiap golongan masyarakat mempunyai peranan tersendiri dan harus mengutamakan perpaduan dan keharmonian sekiranya mahukan kedamaian berkekalan.

Pengerusi  Pertubuhan Kesejahteraan Universal Malaysia, Datuk Ong Chuan Jin berkata, insiden peperangan dan kacau-bilau yang berlaku di negara luar sepatutnya menjadi teladan dan menjadi iktibar kepada rakyat negara ini.

“Jangan kita pandang ringan apa yang berlaku diluar negara setiap hari.

“Setiap peperangan, perkelahian dan pergaduhan sepertimana yang berlaku di luar negara harus diberi perhatian serius.

“Semua pihak mesti mengutamakan toleransi dalam apa jua perkara dan mengekalkan hidup harmoni dan bersatu padu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada pelbagai masyarakat berbilang kaum di Teluk Air Tawar, Butterworth pada Isnin.

Antara mereka yang kurang bernasib baik diraikan oleh Pertubuhan Keesejahteraan Universal Malaysia.

Katanya lagi, kedamaian yang sedia ada sejak sekian lama telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai hingga kini.

Jelas beliau, keharmonian hidup antara pelbagai kaum mesti dipertahankan dan tidak harus dibiar dicemari oleh mana-mana pihak dengan apa jua cara.

“Dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan agama kita mahukan kedamaian, keharmonian dan bersatu padu.

“Kita tidak mahu kerana perbezaan pandangan dalam politik menjadikan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum menjadi renggang.

“Perpaduan amat mahal harganya dan tidak harus dicemari oleh mana-mana pihak sekali pun, ” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bukan saja pelabur luar akan menaruh keyakinan terhadap negara, sebaliknya pelaburan mampu ditingkatkan dan mendatangkan hasil yang positif kepada negara.

Oleh kerana itu ia berharap semua golongan masyarakat senantiasa berwaspada setiap komen dan kenyataan yang dikeluarkan samada melalui media sosial dan sebagainya.