Malaysia Dateline

Setiap satu Dun satu komuniti penanaman cili

Penanaman cili fertigrasi dapat membantu pengusaha dan petani untuk terus menambahkan pendapat mereka.

Perkara itu dijelaskan oleh Datuk Mazlan Aliman yang mengajak untuk orang ramai menceburi bidang penanaman cili ketika di Majlis Pelancaran Komuniti Penanaman Cili Fertigrasi Dun Maharani.

Seramai 100 peserta dari kawasan Dun Maharani telah mengambil bahagian dalam program tersebut yang bermula dengan kursus hinggalah taklimat berkenaan dengan sistem penanaman cili fertigrasi dari pegawai Pertanian Daerah Muar.

Menurut Mazlan, sebagai seorang pengusaha tanaman cili perkara itu harus disambut baik oleh mereka kerana ia bukan sahaja mendedahkan cara mudah dalam penanaman tersebut malah ia lebih kepada pengeluaran hasil yang banyak dari pokok yang ditanam.

“Kami menyasarkan untuk menubuhkan komuniti penanaman cili ini di setiap Dun dalam negeri Johor dan gerak kerja itu telah disusun serta akan diusahakan secepat mungkin.

Mazlan (kanan) bersama Norhayati Bachok (tengah) ketika gimik pelancaran Majlis Komuniti Penanaman Cili Fertigrasi Dun Maharani.

“Komuniti ini ditubuh untuk meningkatkan produktiviti di samping membantu dari segi kaedah penanaman yang meningkatkan pengeluaran yang banyak.

“Kita akan usahakan untuk berkerjasama dengan Pertubuhan Peladangan Kawasan untuk mencari pasaran dan Jabatan Pertanian untuk khidmat bantuan penjagaan pokok serta kaedah mengelakkan serangan seranggan perosak, kulat dan sebagainya,” ucapnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, menurut Adun Maharani, Norhayati Bachok berkata, program yang dijalankan oleh Peladang ini amatlah baik bagi membantu pengusaha tanaman tersebut menikmati hasil dari tanaman cili yang mendapat sambutan di pasaran ketika ini.

Menurutnya lagi ketika di Majlis Pelancaran Komuniti Penanaman Cili Fertigrasi Dun Maharani, selain usaha menambahkan pendapatan, penanaman cili juga mampu membantu kerajaan meningkatkan hasil mentah dari tanaman tersebut.

“Kami menyokong penuh usaha ini dan menggalakkan penyertaan penuh pengusaha-pengusaha cili dan petani di seluruh kawasan Dun Maharani untuk turut serta dalam komuniti ini.

“Selain itu usaha membantu golongan yang baru untuk menceburi bidang ini pun turut dijalankan bagi membantu yang mempunyai tanah untuk diusahakan bagi penanaman cili.

“Ini adalah usaha kami bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Dun Maharani selain langkah membantu Peladang dalam meningkatkan hasil pengeluaran mereka,” ujarnya ketika dihubungi.

Seramai 20 pengusaha atau peserta yang menyertai Komuniti Penanaman Cili Fertigrasi Dun Maharani ini telah diberikan sebanyak 500 (poly beg) dan benih cili untuk diusahakan sebagai cubaan awal.